Isnin, 1 Februari 2016 | 6:44pm
PENYANYI, Mark Adam. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Mark Adam tinggalkan `isteri' kerana kanser


MARK Adam untuk Juara Parodi di Hotel Wolo, Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur. - Foto Shiraz Ali

KUALA LUMPUR: Biarpun mencintai isterinya sepenuh hati, derita penyakit kanser yang ditanggung menjadi faktor utama penyanyi, Mark Adam, 37, membuat keputusan meninggalkan wanita itu.

Begitupun, peminat usah cepat menghukum penyanyi berbakat itu kerana kisah berkenaan hanyalah cerita rekaan untuk klip video single terbaharunya yang berjudul Berat.

"Lagu Berat adalah taruhan terbaharu saya khas buat peminat. Single ini berbeza daripada lagu yang mempopularkan saya sebelum ini.

"Ia mengisahkan sepasang suami isteri terpaksa berpisah bukan kerana kehadiran orang ketiga atau sebagainya, sebaliknya akibat konflik yang lebih besar. Si suami menanggung derita penyakit kanser dan terpaksa melepaskan si isteri demi kebahagiaannya.

"Alhamdulillah, sambutan yang diberikan oleh peminat terhadap lagu ciptaan DJ Fuzz itu sangat memberangsangkan. Video single terkini saya itu baharu saja dilancarkan sebentar tadi," kata Mark atau Fikri Mark Adam kepada BH Online.

Penyanyi kelahiran Cebu, Filipina ini kian mengukir nama di Malaysia dengan beberapa lagu seperti Pencuri, Si Katak, Marry Me dan Senyum Lagi.

Bagi single terbabit, beliau mengambil risiko apabila mengetengahkan muzik yang agak berbeza daripada genre sebelum ini.

"Saya sebenarnya mengorak langkah sebagai penyanyi menerusi lagu berentak balada, namun tidak dinafikan irama rancak berjaya melonjakkan nama saya di arena seni.

"Diharapkan lagu Berat mendapat sambutan yang baik seperti mana lagu saya sebelum ini," katanya.

Berita Harian X