Isnin, 1 Februari 2016 | 10:27pm

Zahid tiba di Beijing untuk lawatan kerja 4 hari

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tiba di Beijing malam tadi untuk memulakan lawatan kerja empat hari, antara lain bagi membincangkan pelaksanaan sistem visa elektronik (e-visa) bagi rakyat China. - Foto BERNAMA

BEIJING: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, tiba di sini, malam ini untuk memulakan lawatan kerja empat hari, antara lain bagi membincangkan pelaksanaan sistem visa elektronik (e-visa) bagi rakyat China.

Ahmad Zahid tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing Capital dengan penerbangan khas pada jam 9.50 malam waktu tempatan (waktu sama di Malaysia).

Ketibaannya disambut oleh Duta Besar Malaysia di China, Datuk Zainuddin Yahya; Timbalan Ketua Perwakilan Kedutaan Malaysia di China, John K Samuel serta pegawai kedutaan.

Ia adalah lawatan kerja pertama Ahmad Zahid ke negara Tembok Besar itu sebagai Timbalan Perdana Menteri, bertujuan meningkat serta memperkukuhkan lagi hubungan dua hala di antara Kuala Lumpur dan Beijing.

Ahmad Zahid dijadual melakukan kunjungan hormat terhadap pemimpin China serta mengadakan perjumpaan dengan Setiausaha Pusat Politik dan Hal Ehwal Undang-undang Parti Komunis China, Meng Jiangzhu serta Menteri Keselamatan Awam, Gou Shengkun.

Antara perbincangan dalam pertemuan itu adalah berkaitan pelaksanaan sistem e-visa, isu keselamatan serantau serta perkembangan usaha memerangi keganasan dan kegiatan radikalisasi.

Selain itu, Ahmad Zahid juga akan meluangkan masa bersama pelajar Malaysia yang menuntut di Beijing dalam majlis makan malam yang dijadualkan Rabu ini. - BERNAMA

Berita Harian X