Selasa, 2 Februari 2016 | 12:01am
ANTARA babak dalam filem Ola Bola. - Foto NSTP
ANTARA babak dalam filem Ola Bola. - Foto NSTP

Semangat patriotisme OlaBola


TANPA perlu mempertaruhkan bintang berpengalaman mahupun popular dalam arena lakonan, filem terbitan Astro Shaw, Ola Bola tetap mempunyai tarikan hebatnya tersendiri selain muncul sebagai produk berkualiti serta sarat dengan pengisian yang mampu menjadi inspirasi kepada penonton.

Andai disebut nama seperti JC Chee, Luqman Hafidz, Marianne Tan dan Katrina Ho, pasti tidak ramai peminat mahupun penggiat seni yang mengenali mereka.

Maklum saja, rata-rata bakat berkenaan julung kali menimba pengalaman di bidang lakonan filem.

Pada masa sama, produksi tetap menampil pelakon berpengalaman seperti Bront Palarae dan Frankie Lee, yang memberikan keadilan kepada pemilihan mereka membintangi naskhah berkenaan apabila mempamerkan persembahan yang dikira cukup meyakinkan.

Itulah antara keistimewaan filem ini, yang mengangkat tema dunia bola sepak berpaksikan nilai persahabatan, kemahiran di padang, kekeluargaan dan kehidupan masyarakat berbilang bangsa yang harmoni sebagai inti pati utamanya.

Judul menghiburkan ini akan menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 28 Januari ini.

ANTARA sedutan filem Ola Bola.

Penceritaan jadi tunjang

Pengarahnya, Chiu Keng Guan, yang cemerlang menerusi filem, The Journey, dua tahun lalu, mengakui kejayaan sesebuah filem bukan bergantung kepada populariti pelakonnya, tetapi penceritaan yang mampu meninggalkan kesan mendalam kepada khalayak.

"Kebanyakan pelakon filem ini adalah wajah baharu yang kali pertama menceburi bidang lakonan. Mereka tidak mempunyai pengalaman langsung dalam bidang ini.

"Namun saya percaya, kesungguhan yang ada mampu membentuk mereka menjadi pelakon yang baik. Saya memilih mereka pula bukan disebabkan bakat lakonan, tetapi lebih kepada bakat sukan dimiliki.

"Saya tidak pandai mengajar pelakon popular bermain bola, tetapi saya mampu membentuk pemain bola menjadi pelakon. Atas alasan itu saya tidak memilih pelakon popular membintangi filem ini," katanya yang ditemui selepas pratonton filem berkenaan.

BINTANG utama filem Ola Bola yang mengangkat nilai persahabatan, kemahiran di padang, kekeluargaan dan kehidupan masyarakat berbilang bangsa.

Kembali ke era 1980-an

Filem yang mengambil masa lebih setahun untuk disiapkan itu mengambil latar belakang zaman kegemilangan pasukan bola sepak negara yang berjaya melayakkan diri ke sukan Olimpik di Moscow, Russia, pada tahun 1980-an.

Ketika itu, pasukan kebangsaan berupaya menumpaskan banyak pasukan gergasi bola sepak Asia, seperti Korea Selatan.

Teknik sinematografi, solekan, pakaian dan pemilihan warna membuatkan karya terbabit mampu membawa penonton kembali ke era 1980-an menyaksikan kegemilangan sukan bola sepak negara. Apatah lagi ia dirakam di Stadium Negara yang menjadi gelanggang keramat pada waktu itu.

Ditambah teknik imejan janaan komputer (CGI) mengesankan bagi menggambarkan suasana di dalam stadium, ia sebuah persembahan yang cukup membanggakan.

Penggunaan khidmat profesional dalam bidang pengkhususan teknikal seperti pakar kesan visual dari Argentina, Marcelo Garcia, yang berpengalaman luas di Hollywood banyak membantu menaikkan mood penonton. Mereka memang akan dapat menikmati teknik rakaman yang menarik sepanjang 113 minit filem ini diputarkan.

Kreativiti dari segi sudut rakaman kamera, yang membantu menghidupkan lagi jalan cerita, sememangnya membantu menarik perhatian penonton untuk terus kekal di kerusi pawagam sehingga ke penghujung.

FILEM yang mengambil masa lebih setahun untuk disiapkan mengambil latar belakang zaman kegemilangan pasukan bola sepak negara 1980-an

Sampai ke jiwa penonton

Tidak dinafikan, filem yang ditulis skripnya oleh Chan Yoke Yeng dan Tan Pik Yee ini berjaya digarap kemas oleh Keng Guan.

Mereka mampu menyentuh hati penonton dengan ketelitian terhadap pemilihan dialog yang dituturkan pelakon. Disokong dengan muzik latar yang mengesankan, tidak hairanlah apabila filem ini turut membuatkan penonton tanpa sedar menitiskan air mata.

"Skrip filem ini dihasilkan selama enam bulan dan ia melalui banyak proses rombakan bagi mendapatkan kesempurnaan dari segi penghayatannya.

"Apabila menghasilkan sesebuah filem, mana-mana pengarah pun akan cuba menghasilkan karyanya sebaik mungkin, yang boleh meninggalkan kesan kepada khalayak baik dari segi emosi mahupun mesej yang ingin diketengahkan. Mereka mahu sesebuah karya itu sampai ke dalam jiwa penonton," katanya.

POSTER Filem Ola Bola.

Sinopsis

Kisah Ola Bola bermula ketika seorang wartawan bernama Marianne yang ditugaskan untuk membuat kajian mengenai pasukan bola sepak negara yang pernah mencipta nama pada era 1980-an.

Ketika itu, Malaysia begitu digeruni oleh pasukan lawan, khasnya di rantau Asia.

Mengimbau kembali pada awal era berkenaan, pasukan bola sepak negara ketika itu berdepan dengan cabaran di mana pemainnya mempunyai perbezaan pendapat dan tidak sehaluan sehingga menyebabkan kekalahan dalam perlawanan penting.

Keadaan semakin rumit apabila hampir setiap pemain mempunyai isu dan masalah masing-masing.

Bagaimanapun, mereka hanya mempunyai satu peluang untuk beraksi di persada dunia.

Jadi, barisan pemain harus mengetepikan masalah peribadi demi mengharumkan nama negara.

Ketika semangat kembali menyemarak dalam diri, pasukan terbabit sekali lagi diduga dengan cabaran yang mematahkan semangat mereka dan harapan negara.

Ola Bola yang diilhamkan daripada peristiwa sebenar ini akan membawa penonton dari pelbagai bangsa untuk sama-sama merasai semangat bersatu hati dan muhibah.

Kisah penuh iktibar ini akan membawa khalayak melihat semangat, keunikan dan kekuatan yang wujud dalam kepelbagaian bangsa di Malaysia.

BARISAN pelakon dan Pengarah Filem OlaBola, Chiu Keng Guan (empat dari kiri berdiri belakang) bergambar di majlis pra-tonton gala premier filem Ola Bola di GSC Pavilion. - Foto Osman Adnan

Info:

  • Judul: Ola Bola
  • Penerbit: Astro Shaw Sdn Bhd, Golden Screen Cinemas Sdn Bhd, Multimedia Entertainment Sdn Bhd
  • Produksi: Woohoo Pictures Sdn Bhd
  • Pengarah: Chiu Keng Guan
  • Pelakon: JC Chee, Luqman Hafidz, Marianne Tan, Katrina Ho, Bront Palarae, Frankie Lee
  • Genre: Drama
  • Bahasa: Bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin, Tamil
  • Durasi: 113 minit
  • Tarikh Tayangan: Mulai 28 Januari 2016

Berita Harian X