Selasa, 2 Februari 2016 | 12:13am
Maya menggunakan Twitter ajak peminat bincang isu semasa. - Foto Munira Abdul Ghani
JUZZTHIN dan Maya Karin ketika pelancaran album Class Is In Session.- Foto Khairul Azhar Ahmad
SELEBRITI Maya Karin - Foto Amirudin Sahib

Maya Karin ajak peminat bincang isu semasa di Twitter


DENGAN lebih sejuta peminat mengikuti akaun Twitternya, Maya Karin tidak syak antara selebriti paling berpengaruh di Malaysia.

Begitupun, pelakon dan penyanyi ini bukan mempertaruhkan kejelitaan dan pembabitan dalam dunia seni semata-mata bagi menarik perhatian masyarakat kerana dirinya juga dikenali dengan kerja kebajikan dan isu alam sekitar.

Namun begitu, sejak akhir-akhir ini bintang "Pontianak Harum Sundal Malam" ini juga turut mengajak peminat berbicara mengenai isu semasa membabitkan kepentingan orang ramai di laman sosial berkenaan antaranya kenaikan kos sara hidup, penggunaan Vape yang diharamkan dan masalah kesesakan lalu lintas.

TWITTER Maya Karin

"Saya sedar, dengan pengaruh dan pengalaman yang ada, saya yakin suara kecil ini boleh didengari dan insya-Allah, ia diharap mampu membawa perubahan kepada masyarakat.

"Apabila kita sudah memasuki ke fasa senior, kematangan itu hadir dengan sendirinya, seiring dengan pengalaman yang ditimba. Saya sudah berusia 36 tahun sekarang ini dan sudah lama berada dalam industri," katanya kepada BH.

Menurut Maya yang baru-baru ini muncul di layar perak dengan filem Jwanita, dia turut berasa sedih dengan pelbagai isu yang melanda negara.

"Saya bersuara dengan harapan mereka yang membaca dapat faham isi hati saya.

"Dengan pengikut yang ramai di Twitter, saya optimis ada ruang untuk memperbaiki apa yang sepatutnya," katanya yang lebih melihat laman sosial berkenaan sebagai perkongsian maklumat dan pendapat, berbanding Instagram yang bersifat visual dan berbeza pendekatan psikologinya.

PELAKON, Maya Karin. - Foto Munira Abdul Ghani

"Sekarang saya rasa ada banyak benda dan isu yang terlintas di fikiran. Jadi, saya akan luahkan apa saja yang terbuku dan terlintas di fikiran.

"Dulu pun, saya memang ada terfikir mengenai sesetengah perkara yang perlu diluahkan, tetapi saya masih teragak-agak untuk menulisnya secara terbuka.

"Bagaimanapun tahun ini, semangat saya memang berbeza. Macam ada 'roh' yang masuk ke dalam badan saya untuk bersuara.

"Jadi apabila ada isu berbangkit yang tiba-tiba menjadi topik hangat di Twitter atau akhbar, mahupun perkara menarik perhatian, saya juga mahu turut serta mencetuskan pandangan.

"Jika ada pendapat berfaedah, saya akan tulis saja di laman berkenaan, dengan harapan ia akan membuat orang sama-sama berfikir, selain mendapat manfaat serta kebaikan bersama," tegasnya.

Maya begitupun memilih untuk meluahkan pandangannya dalam bentuk yang sopan supaya ia tidak mencetuskan maklum balas bukan-bukan.

Mengenai reaksi peminat terhadap perbincangan isu berkenaan, Maya berkata dia tidak kecil hati dengan sesetengah komen yang boleh ditafsir seperti memperli dirinya.

Berita Harian X