Selasa, 2 Februari 2016 | 2:04pm

Sekolah kena pantau kegiatan murid

Senator Chong Sin Woon

KUALA LUMPUR: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sudah diminta membuat tinjauan segera ke sebuah sekolah di Melaka susulan insiden pelajar Tahun Satu maut selepas jatuh dalam lubang kumbahan.

Timbalan Menteri Pendidikan II, Senator Chong Sin Woon, berkata tindakan itu dibuat bagi memantau tahap keselamatan di sekolah berkenaan, sama ada menepati piawaian ditetapkan atau sebaliknya.

Beliau berkata, satu laporan juga akan dikemuka kepada kementerian selepas tinjauan itu selesai, sebelum tindakan selanjutnya diputuskan.

"Memang menjadi amalan kita setiap kali ada insiden atau kemalangan di sekolah, JPN dan PPD akan hantar wakil untuk tinjau dan kita akan umum (hasil tinjauan) selepas kita dapat laporan itu.

"Kementerian memang ambil perhatian serius terhadap tahap keselamatan pelajar di sekolah, termasuk kawasan persekitarannya. Sebab itu kita minta pihak sekolah sentiasa pantau kegiatan murid," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Program Guru Muda 1Malaysia (GM1M) dalam Virtual Learning Environment (VLE) Frog sebagai platform pengajian dan pembelajaran di sini, hari ini.

Sin Woon juga minta warga pendidik dan pihak pengurusannya lebih sensitif serta peka terhadap persekitaran sekolah bagi memastikan insiden sama tidak berulang pada masa depan.

Beliau mengulas insiden membabitkan seorang murid Tahun Satu yang maut selepas terjatuh ke dalam lubang kumbahan di belakang Sekolah Rendah Agama Parit Penghulu Benteng, Sungai Rambai, di sini, semalam.

Raja Nur Nazwa Ariana Raja Mohd Shahronizam, 7, sebelum itu dilihat bermain bersama beberapa rakannya ketika waktu rehat, kira-kira jam 4.45 petang apabila dikatakan terjatuh ke dalam lubang itu bersama seorang murid lelaki.

Bagaimanapun, kanak-kanak lelaki itu terselamat selepas dikatakan sempat berpaut pada batang paip di dalam lubang itu sedalam 3.6 meter.

Berita Harian X