Selasa, 2 Februari 2016 | 2:29pm
Sebahagian tong gas LPG yang dirampas PPM Tawau dalam Ops Paradise di Muara Sungai Haji Kuning di Tawau malam tadi. - Foto ihsan PPM

PPM Tawau gagalkan cubaan seludup 37 tong gas LPG

Sebahagian tong gas LPG yang dirampas PPM Tawau dalam Ops Paradise di Muara Sungai Haji Kuning di Tawau malam tadi. - Foto ihsan PPM

TAWAU: Pasukan Polis Marin (PPM) menggagalkan cubaan tiga lelaki yang cuba menyeludup keluar 37 tong gas petroleum cecair (LPG) bernilai kira-kira RM3,700 di kawasan muara Sungai Haji Kuning di sini, malam tadi.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Madun, berkata dua lelaki tempatan dan seorang warga Indonesia berumur antara 26 hingga 36 ditahan dalam Ops Paradise di kawasan itu pada jam 11.45 malam.

"Suspek menggunakan dua bot laju yang dikesan dalam keadaan mencurigakan sebelum ditahan untuk pemeriksaan oleh anggota PPM

"Pemeriksaan lanjut terhadap bot pertama membawa kepada penemuan 20 tong gas LPG, manakala bot kedua membawa muatan 17 tong LPG dipercayai cuba diseludup untuk dipasarkan di negara jiran," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, ketiga-tiga suspek tidak mempunyai permit sah daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk membawa tong gas terbabit.

Katanya, tong gas yang dirampas termasuk bot laju dan enjin sangkut yang dianggarkan bernilai RM68,700 dibawa ke pangkalan PPM Tawau untuk disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana kesalahan membawa barang kawalan tanpa permit.

Dalam kes berasingan, PPM menahan enam lelaki warga Indonesia dipercayai cuba memasuki daerah ini secara haram di kawasan pelabuhan Tawau pada jam 2.45 petang, semalam.

Selain gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah, lelaki berumur antara 21 hingga 27 tahun itu turut melakukan kesalahan mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2010.

Berita Harian X