Selasa, 2 Februari 2016 | 2:31pm

2 warga Filipina miliki resit kad pengenalan palsu

PEGAWAI Pendakwa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sabah, Samsuddin Erang (tengah) mengiringi dua lelaki warga Filipina, Nadzrin Ladjin (kiri) dan Rasidin Mubin (kanan) yang menerima hukuman penjara setahun 10 bulan selepas mengaku bersalah memiliki resit kad pengenalan palsu di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu. - Foto Malai Rosmah Tuah

KOTA KINABALU: Mahkamah Majistret di sini menjatuhkan hukuman penjara 22 bulan ke atas dua lelaki warga Filipina selepas kedua-duanya mengaku bersalah memiliki resit kad pengenalan palsu.

Majistret Cindy Mc Juce Balitus memerintahkan Nadzrin Ladjin, 25, dan Rasidin Mubin, 21, masing-masing menjalani hukuman itu bermula tarikh mereka ditahan iaitu pada 28 Januari lalu.

Kedua-dua tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1997 (Pindaan 2007), turut diperintah dirujuk kepada Jabatan Imigresen selepas menjalani hukuman.

Berdasarkan fakta kes, kedua-dua tertuduh dikesan memiliki resit kad pengenalan palsu ketika pemeriksaan polis dalam Ops Ledak Siri 1/2016 di Balai Polis Karamunsing, di sini, pada jam 11.15 pagi, 28 Januari lalu.

Nadzrin memiliki resit kad pengenalan bernombor 910608-12-6397, manakala Rasidin memiliki resit kad pengenalan bernombor 950514-12-6051.

Semakan dengan Bahagian Kad Pengenalan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Kota Kinabalu mengesahkan resit berkenaan adalah palsu kerana tiada rekod ia pernah dikeluarkan oleh jabatan berkenaan.

Mereka kemudian mengakui membeli resit berkenaan dengan harga RM1,500 sekeping.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa JPN Sabah, Samsuddin Erang, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Berita Harian X