Selasa, 2 Februari 2016 | 5:19pm
TUNKU Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah tiba di Wisma Darul Aman hari ini. - Foto Eizairi Shamsudin
TUNKU Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah tiba di Wisma Darul Aman hari ini. - Foto Eizairi Shamsudin

Pembangkang Kedah mahu kemelut politik diselesaikan di DUN

ALOR SETAR: Wakil pembangkang mahu krisis kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, diselesaikan melalui usul di sidang Dewan Undangan Negeri Kedah (DUN) jika usaha lain menemui jalan buntu.

Pendirian bersama itu dizahirkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada semua parti pembangkang, sejurus menghadap Jemaah Pemangku Sultan Kedah di Wisma Darul Aman di sini, sebentar tadi.

Selain lapan ADUN PAS yang mahu kemelut itu diselesaikan dengan menentukan kehilangan sokongan majoriti ADUN kepada Menteri Besar melalui usul di sidang DUN, turut mempunyai ketetapan sama adalah empat ADUN PKR, dua DAP dan satu wakil Parti Amanah Negara (PAN).

ADUN Alor Mengkudu yang juga Ketua Penerangan PAS Kedah, Ahmad Yahaya, berkata jika ingin membuat pertukaran Menteri Besar, semua 15 ADUN pembangkang mahu ia ditentukan di sidang DUN, sama ada secara tergempar atau mengikut jadual pada April depan.

"Kita membantah sekeras-kerasnya tindakan cuba menurunkan Mukhriz sebagai Menteri Besar melalui cara tidak bertatasusila.

"Jika Mukhriz dinaikkan melalui laluan demokrasi, proses menurunkannya juga mestilah mengikut amalan demokrasi, tidak gopoh, berperaturan serta menghormati kehendak rakyat," katanya ketika ditemui pemberita di luar Wisma Darul Aman, di sini tadi.

Terdahulu, seramai 13 daripada 15 ADUN pembangkang mengadakan pertemuan dengan Jemaah Pemangku Sultan Kedah yang dipengerusikan Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Diraja Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah di Wisma Darul Aman bermula jam 3 petang dan berakhir 35 minit kemudian.

Berita Harian X