Selasa, 2 Februari 2016 | 9:06pm

Lebuh Raya Senai-Desaru beri diskaun 10 peratus

LEBUH Raya Senai-Desaru (SDE).

JOHOR BAHRU: Lebuh Raya Senai-Desaru (SDE) menawarkan diskaun tol sebanyak 10 peratus kepada semua pengguna kenderaan kelas 1 bersempena sambutan Tahun Baharu Cina.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mustaza Salim, berkata diskaun itu bermula pada jam 6 pagi pada 8 Februari sehingga 6 pagi keesokannya.

Katanya, diskaun itu ditawarkan kepada semua pengguna kenderaan kelas satu sama ada yang menggunakan bayaran tol secara elektronik di lorong Touch n Go dan Smart Tag atau membuat bayaran secara tunai.

"Diskaun yang ditawarkan ini adalah sebahagian daripada pelbagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dijalankan oleh SDE. Kita juga berharap semua pengguna lebuh raya mengamalkan pemanduan yang berhemah sempena cuti perayaan ini," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Pada masa sama, Mustaza berkata SDE menggalakkan semua pengguna lebuh raya membuat bayaran tol secara elektronik bagi memastikan perjalanan lebih cepat dan selesa.

Berita Harian X