Rabu, 3 Februari 2016 | 1:36pm

Bunkface bangga pencapaian Akim & The Majistret

KUMPULAN Bunkface di pelancaran Boboiboy The Movie. - Foto Rohanis Shukri
KUMPULAN Bunkface di pelancaran Boboiboy The Movie. - Foto Rohanis Shukri

KUALA LUMPUR: Kemenangan Akim & The Majistret yang membolot trofi Juara Lagu melalui karya ciptaannya, Potret pada Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-30, baru-baru ini, terus menjadi topik perbualan.

Dalam kalangan artis dan penggiat industri muzik, ramai menyifatkan pencapaian Akim cukup membanggakan termasuk kumpulan Bunkface.

Youk yang bermain gitar bass dan penyanyi latar kumpulan Bunkface mengaku, dia dan rakan-rakan band bangga dengan pencapaian Akim yang dilihat berjaya merencana perjalanan karier sebagai penyanyi berkumpulan.

"Eksperimentasi Akim membuktikan penyanyi berkumpulan mampu pergi jauh dalam industri muzik tempatan.

"Sebagai kawan, kami berbangga dengan pencapaiannya. Persaingan ini adalah sesuatu yang sihat," katanya kepada BH Online.

Seorang lagi anggota kumpulan Bunkface, Ahmad Farhan atau Paan menerima positif kemenangan Akim pada AJL30 biarpun meramal lagu Assalamualaikum ciptaan Faizal Tahir menjadi juara.

"Bukan kerana kami mempunyai masalah dengan Akim & The Majistret, sebaliknya kami menganggap lagu Assalamualaikum mempunyai mesej tersendiri," katanya yang juga gitaris utama kumpulan Bunkface.

Selain Paan dan Youk atau nama sebenarnya, Farouk Jafaar, kumpulan Bunkface turut dianggotai vokalis, Shamsul Annuar Mohd Baharom atau Sam.

Dalam perkembangan terbaharu, kumpulan Bunkface bakal tampil dengan produk minyak wangi keluaran mereka.

"Kami akan melancarkan produk minyak wangi untuk lelaki dan wanita, tidak lama lagi. Harga produk ini berpatutan untuk golongan muda.

"Sebagai penyanyi, kami merangka persiapan masa depan. Kami sedar hakikat pentingnya pelaburan dalam bidang lain bukan sekadar dunia muzik semata-mata," kata Youk.

Berita Harian X