Rabu, 3 Februari 2016 | 1:45pm

Eddie gembira Abil kembali menjadi isteri

Bekas suami Nabila Huda, Zaidi Zailani. - Foto Kamarulzaman Ariffin

KUALA LUMPUR: Bekas suami Nabila Huda, Zaidi Zailani, 34, mengaku dia cukup gembira apabila mendapat tahu pelakon wanita berkenaan kembali berumah tangga, baru-baru ini.

Nabila, 31, yang juga anak kepada penyanyi rock terkenal, Amy Search, berkahwin buat kali kedua dengan pilihan hatinya, Mohd Izwan Johar, pada Disember lalu.

"Selepas saya menerima berita mengenai perkahwinan mereka, apa yang boleh saya katakan, saya tersangat gembira dan terharu.

"Saya benar-benar bersyukur kerana Abil (panggilan untuk Nabila) sudah menemui lelaki yang mampu menjaganya. Inilah juga apa yang saya mahukan selama ini," katanya ketika ditemui selepas majlis makan malam sempena sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Paranormal Records, di Sri Damansara, di sini, malam tadi.

Bagi Zaidi, walaupun mereka sudah berpisah, hubungan antara kedua-duanya sangat baik.

Zaidi atau Eddie mendirikan rumah tangga dengan Nabila pada 6 Disember 2008, tetapi mahligai yang dibina itu hanya mampu bertahan hingga 2011.

Hasil perkahwinan terbabit, mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Keisha Laila, yang kini berusia enam tahun.

Katanya, selepas berpisah, beliau memang berdoa supaya Abil bertemu dengan lelaki idamannya, malah berharap wanita itu akan segera berkahwin.

"Alhamdulillah, doa saya dimakbulkan dan inilah yang membuatkan saya sangat gembira. Inilah juga perkara yang diingininya," kata Zaidi yang turut berkawan baik dengan Mohd Izwan.

Eddie turut memberitahu, dia sangat menghormati Abil dan suaminya, malah mereka kini bagaikan sebuah keluarga demi Keisha.

"Jodoh saya pula bagaimanapun belum sampai lagi. Buat ketika ini saya perlu fikirkan mengenai Keisha. Kalau hendak mencari calon isteri pun, saya akan fikirkan mengenai anak saya dulu.

"Jika jodoh saya sudah tiba nanti, saya pasti Abil juga turut gembira," katanya yang kini meneruskan kerjaya sebagai penyanyi rap solo.

Sebelum ini, Eddie bergerak dalam dunia seni bersama kumpulan Tiga Swagger.

Berita Harian X