Khamis, 4 Februari 2016 | 12:14am
DUA beradik, Nur Izzati Khairudin, 29, (kiri) dan Nur Atiqah, 27, teruskan legasi keluarga dalam sukan belon udara panas. - Foto Fariz Iswadi Ismail
MENGEMUDI belon udara panas memerlukan kemahiran tersendiri terutama berkaitan cuaca - Foto Fariz Iswadi Ismail
BELON udara panas melintasi ruang udara Putrajaya. - Foto Fariz Iswadi Ismail
BELON udara panas biasa diterbangkan seawal jam 7 pagi di Malaysia kerana cuaca dan terbang antara 45 minit di ruang udara Putrajaya. - Fariz Iswadi Ismail

Dua beradik kemudi belon udara panas


MENGEMUDI belon udara panas bukan saja aktiviti yang dekat di hati kerana legasi perniagaan keluarga, tetapi menonjolkan mereka sebagai wanita terawal mempelopori sukan berkenaan.

Lebih membanggakan dua beradik ini, Nur Izzati Khairudin, 29, dan adiknya, Nur Atiqah, 27, merealisasikan impian mereka pada November tahun lalu, apabila memperoleh Lesen Juruterbang Peribadi (PPL) di Sepanyol, selepas sebulan berkelana di bumi asing itu.

Pencapaian itu, sekali gus menjulang mereka sebagai juruterbang wanita pertama negara yang memperoleh lesen mengemudi belon udara panas, selain melakar sejarah tersendiri. Sebelum ini, arwah bapa mereka, Kapten Khairudin Abdul Rani adalah pemegang lesen pertama negara.

Didedahkan pengendalian belon udara panas sejak tahun 1990-an, ini mencetuskan inspirasi untuk meneruskan perniagaan, sekali gus memperkenalkannya kepada rakyat Malaysia dengan lebih meluas.

NUR Izzati mengemas belon udara panas selepas selesai penerbangan. - Foto Fariz Iswadi Ismail

NUR Atiqah mengemas belon udara panas selepas selesai penerbangan. - Foto Fariz Iswadi Ismail

Merealisasi impian

Nur Izzati yang juga Ketua Pegawai Eksekutif AKA Balloon Sdn Bhd, berkata tahun lalu, menjadi kenangan paling manis kerana mereka berjaya merealisasikan impian memperoleh lesen juruterbang belon udara panas.

"Segala-galanya kerana kami mahu membuktikan wanita juga berkebolehan, selain mahu meneruskan pencapaian arwah ayah yang boleh menerbangkan belon udara panas.

"Sepanjang sebulan di Sepanyol, kami menimba pelbagai pengalaman kerana di sana belon udara panas diterbangkan di kawasan lembah, kawasan bandar, gunung ganang dan berdekatan laut, berbanding Malaysia hanya terhad pada kawasan lapang," katanya.

Pengalaman di Sepanyol, memberikan cabaran berbeza, namun dua beradik ini tetap bersyukur kerana mereka diberikan layanan yang baik, apatah lagi mengetahui mereka penganut Islam.

"Sepanjang mengikuti latihan di negara itu kami berasa sangat dialu-alukan apabila masyarakatnya begitu ramah, baik dan melayani kami umpama keluarga sendiri.

"Justeru, tiada masalah di sana kerana kami masak sendiri berikutan sukar makanan halal. Kami juga berpeluang mendalami adat resam masyarakat tempatan dan menimba banyak pengalaman berkaitan belon udara panas," katanya yang mengagumi kewibawaan juruterbang belon udara Jepun, Akari Sue selain arwah bapanya.

AHLI My Balloon Adventure bekerjasama melakukan persediaan penerbangan belon udara panas. - Foto Fariz Iswadi Ismail

Perlu kemahiran teknikal

Meskipun boleh dikatakan, sudah biasa dan mahir mengendalikan belon udara panas dua beradik ini tetap merasai keterujaan setiap kali berpeluang menerbangkan belon udara yang membawa pelanggan yang menempah perkhidmatan mereka.

"Bidang ini bukan hanya bersandarkan minat, kerana kami perlu punyai kemahiran teknikal, persediaan sebelum pelepasan, memeriksa peralatan ketika di atas tanah dan mengemudi pergerakannya di udara.

"Kebiasaan belon udara diterbangkan pada awal sekitar jam tujuh pagi dan terbang antara 45 minit di ruang udara Putrajaya serta bergantung arah tiupan angin dan keadaan cuaca," katanya yang anak sulung daripada empat beradik.

Katanya, cuaca negara yang agak panas hanya membolehkan belon udara dinaikkan pada awal pagi, berbanding di luar negara yang tidak mengira masa.

BANYAK pengalaman diperoleh sepanjang sebulan di Sepanyol terbang di kawasan lembah, bandar, gunung-ganang dan berdekatan laut. - Foto Fariz Iswadi Ismail

NUR Izzati yang juga Ketua Pegawai Eksekutif AKA Balloon Sdn Bhd membuat persediaan untuk menerbangkan belon udara panas. - Foto Fariz Iswadi Ismail

Sukan baharu

Nur Izzati berkata, di samping memberi peluang kepada orang ramai merasai pengalaman menaiki belon udara panas, ia turut membangkitkan minati sukan baharu itu.

"Impian kami selain meluaskan sayap perniagaan, kami mahu generasi muda menyertai kami mengambil lesen supaya bersama menggiatkan sukan ini kerana walaupun kosnya mahal tetapi ia mempunyai kepuasan sendiri.

"Misalnya, kawasan Putrajaya seseorang juruterbang itu boleh menaikkan belon udara hingga ketinggian 152.4 meter (500 kaki) dan nyata boleh menyaksikan pemandangan menarik di sekeliling wilayah ini.

"Buat masa sekarang, Putrajaya kawasan paling sesuai boleh mendarat dengan mudah kerana banyak kawasan lapang berbanding Kuala Lumpur yang sesak, manakala untuk mendarat, keluasan diperlukan adalah seluas separuh kawasan padang bola.

Sementara itu, Nur Atiqah yang menggalas tugas Pengurus Pemasaran dan Perhubungan Awam AKA Balloon Sdn Bhd, berkata beliau dan kakaknya akan bergilir mengemudikan belon udara panas.

"Ini kerana kami mahu jumlah jam melakukan penerbangan yang sama dan sama-sama dapat menajamkan kemahiran masing-masing. Ini berikutan, lesen yang diperoleh adalah pada masa yang sama.

"Dalam menumpukan perniagaan, kami tidak mahu terlepas mendalami berkaitan belon udara panas. Justeru, kami kerap menghadiri pelbagai festival belon udara panas di luar negara untuk melihat corak urusan perniagaan itu dengan lebih dekat," katanya.

Semangat dua beradik terus membara dan memberikan kekuatan meskipun pemergian ayah kesayangan mereka akibat serangan jantung, pada Disember 2012.

Justeru, Nur Atiqah berkata, perniagaan adalah keutamaan dan bukti kasih ayah tercinta untuk ibu serta dua adik beradik yang lain, iaitu Hafizah, 22, dan Izwan Elyas, 17.

"Tekad kami adalah mengembangkan perniagaan keluarga, meskipun kami berkelulusan dalam bidang berbeza kerana saya graduan dalam pengkhususan perhubungan awam manakala kakak daripada jurusan perakaunan.

"Kami masih mengekalkan perniagaan seperti menjual dan menyewa belon udara panas kepada syarikat korporat. Bagi saya, usia kami yang masih muda dan status wanita tidak menjadi halangan kerana yang penting keyakinan dan perkhidmatan terbaik," katanya.

NUR Izzati cekap mengendalikan belon udara panas, sukan yang biasanya membabitkan lelaki. - Foto Fariz Iswadi Ismail

Pengalaman baharu

Sementara itu, juruterbang, Ahmad Syamil Othman, 29, yang mengikuti penerbangan yang dikemudi Nurul Izzati, ketika sesi temubual BH berkongsi keterujaan menaiki bersama isteri tersayang.

"Sebenarnya, kami baharu saja mendirikan rumah tangga dan ketika ini saya sedang bercuti selama sebulan. Jadi saya membawa isteri untuk memberikannya kejutan sempena pernikahan kami.

"Meskipun sudah biasa mengemudi pesawat, suasana tetap berbeza kerana apabila menaiki belon udara panas, kita bebas menyaksikan pemandangan terbuka, berada di udara dengan kadar pergerakan yang perlahan," katanya.

Beliau berkata, pengalaman itu wajar dicuba rakyat Malaysia lain, kerana belon udara panas masih dianggap sukan baharu dan ia memberikan pengalaman menarik berbanding menyaksikannya dari bawah.

Orang ramai boleh melihat lebih dekat aktiviti ini dengan mengunjungi dan memeriahkan Pesta Belon Udara Panas Antarabangsa Putrajaya 2016 pada 11 hingga 13 Mac depan atau melayari maklumat lanjut menerusi sesawang www.myballoonfiesta.com.

Berita Harian X