Khamis, 4 Februari 2016 | 11:27am
- Gambar hiasan

Negara pengeluar getah laksana skim jumlah eksport

KUALA LUMPUR: Thailand, Indonesia dan Malaysia bersetuju melaksanakan Skim Jumlah Eksport Yang Dipersetujui (AETS), berkuat kuasa 1 Mac, 2016 yang bermatlamat meningkatkan harga getah asli.

Majlis Getah Tiga Pihak Antarabangsa (ITRC) berkata menerusi skim ini, ketiga-tiga negara akan menarik balik eksport 615,000 tan getah asli selama enam bulan mulai 1 Mac hingga 31 Ogos, 2016.

Jabatan Perangkaan melaporkan bahawa Malaysia mengeksport 45.259 tan getah asli pada November 2015, turun 18.3 peratus berbanding bulan sebelumnya.

Angka itu menunjukkan penurunan 2.5 peratus atau 1,166 tan berbanding keluaran yang dicatatkan pada November 2014.

Langkah untuk melaksanakan skim ini muncul apabila Menteri Pertanian dan Koperasi Thailand, Menteri Perdagangan Indonesia dan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Malaysia menyuarakan kebimbangan terhadap trend terkini kejatuhan harga getah

Mereka berkata penurunan harga memberi kesan langsung ke atas pendapatan pekebun kecil getah di tiga negara, kata ITRC dalam satu kenyataan.

Selain menangani lebihan bekalan getah asli, majlis itu juga bersetuju untuk meningkatkan penggunaan domestik dengan menggunakan komoditi berkenaan untuk membina jalan, pad kereta api untuk pembinaan rel selain dalam bidang yang bersesuaian.

"Kami yakin berdasarkan pelaksanaan bersama langkah-langkah ini, harga getah akan pulih, dan baik untuk semua pekebun kecil dan pihak berkepentingan dalam industri.

"Pelaksanaan ini akan dipantau teliti oleh Jawatankuasa Pemantau ITRC," kata majlis itu.

- BERNAMA

Berita Harian X