Khamis, 4 Februari 2016 | 2:13pm

Mamorino Watch pantau kanak-kanak


MAMORINO Watch. - Sumber businesswire.com

SELEPAS hampir lima tahun akhirnya kini industri memperkenalkan jam pintar khusus untuk kanak-kanak yang mampu membantu ibu bapa memanfaatkan kecanggihan peranti mudah alih untuk memantau pergerakan anak mereka.

Dikenali sebagai mamorino Watch, peranti keluaran KDDI dan Okinawa Cellular Telephone Company itu dijangka dilancarkan ke pasaran Jepun pada akhir Mac, menjadikannya yang pertama seumpamanya di dunia.

Mungkin agak terlewat, tetapi pengumuman itu cukup dialu-alukan ibu bapa moden kerana peranti itu membantu berhubung terus dengan jam pintar mamorino Watch milik anak-anak menerusi telefon pintar selain memantau pergerakan dan membuat panggilan.

Ketua Eksekutif EMEA and APAC, ZTE Mobile Devices, Jacky Zhang, berkata peranti VoLTE itu dibangunkan khusus untuk kanak-kanak tadika dan sekolah rendah dengan ciri-ciri kalis air, serta persekitaran lasak.

Katanya, ia berfungsi menerusi skrin sesentuh dan arahan suara yang memudahkan kanak-kanak membuat panggilan terus ke telefon pintar ibu bapa mereka selain sokongan pengesan GPS bagi menjejak pergerakan harian.

"Mamorino Watch akan memberikan ketenangan kepada ibu bapa untuk memantau pergerakan dan jadual harian anak masing-masing.

"Ini adalah sebahagian daripada usaha kami membawa inovasi dalam gaya hidup pintar ZTE bagi memastikan pengguna terus yakin dan selamat menggunakan produk kami," katanya dalam satu kenyataan di Tokyo, pagi ini.

Mamorino Watch diperkenalkan dalam dua jenis iaitu jam pintar di pergelangan tangan dan kalung berserta skrin dail, pelarasan kecerahan skrin automatik, skrin 1.4 inci TFT LCD dan platform pengenalan suara Dragon Speech Nuance.

Syarikat itu turut membangunkan sistem amaran yang membolehkan ibu bapa peka setiap pergerakan kanak-kanak sekiranya keluar daripada laluan biasa dan membuat panggilan terus ke jam atau SMS bagi memandu arah kanak-kanak sesat menggunakan GPS.

44 dibaca
Berita Harian X