Khamis, 4 Februari 2016 | 7:05pm

Lebih sejuta kenderaan dijangka keluar dari KL mulai esok


KETUA Polis Daerah Serdang, ACP Razimi Ahmad (kanan) dan Timbalan Pengurus Besar Maju Expressway Sdn Bhd, Mohd Salleh Adnan (tengah) menyempurnakan pelepasan unit ronda bermotosikal (URB) sempena Kempen Op Selamat 8 di Plaza Tol MEX Seri Kembangan, Lebuhraya MEX di sini sebentar tadi.

KUALA LUMPUR: Lebih sejuta kenderaan dijangka keluar dari ibu negara bermula esok berikutan cuti panjang bersempena sambutan Tahun Baharu Cina Isnin ini.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Law Hong Soon, berkata kira-kita 300 anggota trafik akan ditempatkan di 20 lokasi yang telah dikenal pasti kerap berlaku kemalangan bagi mengawal lalu lintas.

"Bermula esok (Jumaat) sehingga Ahad orang ramai dijangka keluar dari Kuala Lumpur untuk pulang ke kampung halaman.

"Kami akan bantu mengawal keadaan bersama beberapa agensi lain seperti Jabatan Pengangkutan Jalan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Op Selamat 8 Sempena Tahun Baharu Cina 2016 Polis Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Antara lokasi yang dikenal pasti kerap berlaku kemalangan di ibu negara ialah Jalan Kuching, Jalan Loke Yew, Jalan Klang Lama, Jalan Duta, Jalan Sungai Besi dan Jalan Tun Razak.

Law berkata, fokus utama pada kali ini adalah memastikan pengguna jalan raya mematuhi segala peraturan yang telah ditetapkan.

"Antara kesalahan yang kerap dilakukan adalah menggunakan lorong kecemasan dan memandu secara berbahaya," katanya.

Beliau juga menasihatkan orang ramai mengisi borang maklumat balik kampung yang boleh didapati di laman web rasmi Polis Diraja Malaysia.

"Borang berkenaan hendaklah diserahkan kepada balai polis berdekatan kediaman mereka. Ini bagi membolehkan anggota melakukan rondaan di kawasan kediaman mereka sepanjang tempoh itu," katanya.

Pada majlis berkenaan sebanyak 34 buah motosikal jenis Honda CBR 250 diserahkan kepada Unit Rondaan Bermotosikal Polis Pelancong.

- BERNAMA

Berita Harian X