Khamis, 4 Februari 2016 | 8:36pm

Ahmad Bashah ada pengalaman mantapkan Helang Merah

MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah .
-- Foto BERNAMA
MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah .
-- Foto BERNAMA

ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah yang baharu, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah mahu menggunakan pengalamannya sebagai Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) suatu masa dahulu bagi memantapkan skuad bola sepak negeri.

Ahmad Bashah berkata, pengalaman selama beberapa tahun sebagai Timbalan Presiden KFA di bawah Menteri Besar Kedah kelapan, Datuk Seri Syed Razak Syed Zain Barakah, membolehkan beliau mengetahui apa yang diperlukan KFA.

"Bola sepak ini peminat dia ramai, kita akan buat sesuatu yang terbaik kerana bola sepak menggabungkan penyokong tidak kira daripada fahaman politik mana," katanya dalam sidang media di Istana Anak Bukit hari ini.

Semalam, selepas mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir turut mengumumkan peletakan jawatan sebagai Presiden KFA, memandangkan kedudukan itu datang bersama jawatan Menteri Besar.

Di bawah pimpinan Mukhriz, skuad Kedah yang turut dikenali sebagai Helang Merah berjaya bangkit semula apabila menjadi naib juara Piala Malaysia tahun lalu selain muncul juara Liga Perdana.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat KFA, Datuk Aminuddin Omar, berkata beliau sedia memberi laluan kepada muka baharu berikutan pertukaran Menteri Besar.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian dan Kebudayaan dan Pembangunan Insan negeri berkata, pihaknya akan mengadakan kongres luar biasa untuk pelantikan baharu Presiden KFA dalam tempoh seminggu dua ini.

"Saya sedang berbincang untuk tetapkan tarikh dan kemudian kita akan adakan kongres itu dan menamakan presiden yang baharu...biasanya Presiden KFA dipegang Menteri Besar.

"Selepas pelantikan presiden ada struktur baharu di peringkat KFA dan ia akan menentukan perjalanan KFA," katanya yang ditemui pemberita selepas majlis pelantikan Menteri Besar Kedah di Istana Anak Bukit.

Beliau turut mengharapkan Kedah berupaya mempamerkan persembahan terbaik dan memastikan skuad Helang Merah tetap berada pada kedudukan teratas tahun ini.

"Saya juga harap presiden baru dapat menghasilkan keputusan terbaik, tunjukkan minat dan lihat bagaimana pentingnya bola sepak di Kedah," katanya.

- BERNAMA

Berita Harian X