Jumaat, 5 Februari 2016 | 12:05am
PENGHASILAN kraf replika rumah tradisional memerlukan ketelitian. - Foto Muhammad Hatim Ab Mannan
AZHAR menggunakan kayu jenis nyatuh dan jelutong untuk membuat replika rumah kayu tradisionalnya. - Foto Muhammad Hatim Ab Mannan
AZHAR mengecat replika rumah tradisional yang dibinanya sebagai kemasan terakhir. - Foto Muhammad Hatim Ab Mannan

Replika rumah sumber rezeki


MELAKA: Tersergam indah rumah kayu lama yang dihias seni ukiran indah cuma saiznya yang kecil.

Kelihatan pada bahagian tangga, beranda dan tingkap yang kekal menggunakan kayu pasti mengembalikan nostalgia pada rumah tradisional di kampung.

Jika melihat melalui gambar, akan timbul keinginan untuk menaiki tangga dan duduk di beranda sambil menikmati keindahan kampung.

Namun, tidak boleh kerana rumah yang dimaksudkan adalah replika, bersaiz kecil dengan ukuran 45 sentimeter x 60 sentimeter. Ia adalah ukiran rumah kayu mini hasil sentuhan Azhar Ahmad, 47.


AZHAR Ahmad menunjukkan replika rumah kayu yang dihasilkannya. - Foto Muhammad Hatim Ab Mannan

"Minat ini sudah bermula sejak 10 tahun lalu. Bermula sebagai hobi masa lapang, kemudian menjadi lebih serius selepas menerima banyak tempahan pada setiap minggu, selain galakan daripada rakan.

"Untuk menyiapkan sebuah replika rumah tradisional, berapa peralatan diperlukan antaranya pisau, gunting, gam, pahat, gerudi dan gergaji meja.

"Kayu yang digunakan ada yang dibeli dari kedai dan yang terpakai, manakala jenis kayu pula seperti nyatuh dan jelutong," kata Azhar yang turut dibantu isteri, Marzita Hassan, 37, menghasilkan replika rumah itu di kediaman mereka di Kampung Pegoh, Alor Gajah, Melaka.

Dengan bakat serta kebolehan yang dimiliki, Azhar juga menjadi tenaga pengajar di Pusat Kraf Melaka, selain melatih pelajar universiti menyiapkan tugasan berkaitan kraftangan tradisional.


ANTARA replika rumah kayu yang ditempah pelanggan. - Foto Muhammad Hatim Ab Mannan

Hasil kraftangannya turut dipamerkan di Galeri Kompleks Kraf Kuala Lumpur di Jalan Conlay dan mendapat pengiktirafan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia bagi kategori Ria Cipta Kraf pada pertandingan Produk Kraf Terbaik sempena Hari Kraf Kebangsaan 2012.

Kebanyakan replika rumah tradisional ciptaannya digunakan sebagai penyeri landskap di halaman rumah atau pejabat.

"Kerjaya sebagai pembuat replika rumah tradisional ini bermula ketika saya bekerja di kedai membuat kabinet dapur, selain kemahiran dimiliki sebagai tukang rumah sejak berusia 18 tahun.

"Saya tidak belajar daripada sesiapa pun, sebaliknya banyak bergantung kepada pengalaman sebagai tukang rumah," katanya yang juga berbangga apabila hasil kraftangan dibuat pernah dihadiahkan kepada bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Mohd Ali Rustam yang beberapa orang kenamaan.


AZHAR Ahmad menyiapkan replika rumah kayu untuk pelanggannya. - Foto Muhammad Hatim Ab Mannan

Katanya, antara produk terbaik yang pernah beliau hasilkan adalah replika rumah tradisional berkonsepkan buat sendiri atau Do It Yourself (DIY) kerana ia lebih mudah dan menggunakan bahan semula jadi.

"Saya akan menyiapkan replika rumah bergantung kepada permintaan daripada pelanggan dan boleh menghasilkan pelbagai jenis rumah tradisional seperti rumah Melaka, Johor, Perak, jenis Minangkabau di Negeri Sembilan dan Rumah Panjang Sarawak.

"Namun, rumah yang paling banyak mendapat permintaan adalah tradisional Melayu Melaka," katanya bagi menghasilkan replika yang cantik dan kemas memerlukan minat yang mendalam serta kesabaran yang tinggi.

Dengan hanya mengambil tempoh dua minggu bergantung kepada keluasan sesebuah replika rumah, Azhar mampu tersenyum kerana ciptaannya itu mendapat perhatian daripada masyarakat.

Setiap replika rumah dijual pada harga antara RM50 hingga RM3,000 sebuah berdasarkan saiz dan jenis.

Berita Harian X