Sabtu, 6 Februari 2016 | 11:18am

Suspek kes samun ditahan orang awam

KUALA LUMPUR: Tindakan pantas orang awam sebaik mendengar jeritan meminta tolong, berjaya menghalang seorang lelaki melarikan diri sejurus menyamun farmasi di Jalan Sentul, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, seorang pekerja farmasi terbabit dikatakan mengejar suspek lelaki itu yang melarikan wang hasil jualan.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner R Munusamy, berkata suspek yang bersenjatakan pisau awalnya mengugut seorang pekerja di kaunter bayaran dan mengarahkannya memasuki pejabat farmasi di belakang.

"Suspek mengugut mangsa supaya menyerahkan barang berharga miliknya tetapi mangsa enggan berbuat demikian.

"Ia menyebabkan suspek berang dan merampas kunci daripada mangsa serta menumbuk muka dan menolaknya.

"Suspek membuka peti besi dan mengambil wang hasil jualan berjumlah RM1,500. Dia kemudian mengarahkan mangsa dan seorang rakannya berdiri menghadap belakang sebelum melarikan diri," katanya dalam kenyataan media, pagi ini.

Munusamy berkata, seorang daripada mangsa nekad mengejar suspek hingga ke luar premis sambil menjerit meminta pertolongan.

Katanya, keadaan itu disedari beberapa orang awam yang pantas menangkap suspek dan menyerahkannya kepada polis, manakala wang yang dilarikan turut diperoleh semula.

"Semakan mendapati suspek berusia 41 tahun dan berasal dari Gombak itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

"Kita akan membuat permohonan reman terhadap suspek hari ini," katanya.

Munusamy berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana merompak dan Seksyen 397 kanun sama kerana melakukan rompakan bersenjata.

Satu video berdurasi 5 minit 26 menunjukkan visual suspek ditahan orang ramai, kini viral di laman sosial.

Berita Harian X