Sabtu, 6 Februari 2016 | 4:51pm

Maya Karin gadai prinsip kerana drama TV?


PELAKON, Maya Karin. - Foto Azhar Ahmad

KUALA LUMPUR: Dilihat eksklusif apabila hanya memilih untuk beraksi di layar perak, Maya Karin masih meneruskan survival seninya selepas 15 tahun bergelumang dalam industri hiburan.

Maya mengakui, tidak berdepan masalah jika tawaran baharu tidak lagi berpihak kepadanya kerana pada masa sama, turut merencana masa depan dalam bidang perniagaan dan hartanah.

Muncul dalam dua filem iaitu Nota dan Jwanita pada tahun lalu, Maya mengakui, tawaran berlakon sudah jarang diterima, namun situasi itu tidak pernah membuatnya gusar.

Ini kerana pelakon berdarah kacukan Melayu-Jerman itu banyak menolak tawaran berikutan semakin selektif dengan watak dan skrip.

Bagaimanapun, kemarau penantian pelakon yang menjulang nama menerusi filem seperti Pontianak Harum Sundal Malam, Waris Jari Hantu dan Anak Halal itu bakal berakhir apabila Maya berkemungkinan besar akan beraksi dalam produksi drama televisyen.

Ia menimbulkan persepsi apakah Maya sanggup menggadai nilai eksklusifnya apabila menerima tawaran membintangi produksi televisyen?

Sebelum ini, Maya pernah muncul di kaca televisyen, namun sebagai pengacara mengendalikan program seperti Wavelength, Ratu Sehari, Channel [V] dan Beauty Secret From The East.

"Dari dulu, saya memang tidak akan menerima sebarang projek filem semata-mata kerana duit.

"Saya lebih rela menolak daripada berlakon separuh hati jika skrip yang diterima kurang memberangsangkan. Tidak dinafikan, saya mendapat tawaran untuk membintangi sebuah produksi televisyen.

"Ia adalah telefilem istimewa yang diadaptasi daripada filem yang pernah saya bintangi iaitu Cun. Disebabkan saya pernah terbabit dalam filem itu, bukan masalah untuk saya beraksi dalam telefilem itu. Lagipun, projek itu khusus untuk tayangan istimewa.

"Saya tidak keberatan mencuba kerana penerbitannya juga eksklusif apabila hanya disiarkan sekali dan bukan seperti drama rantaian yang tempoh tayangan lebih panjang,' katanya.

Turut gembira apabila dimaklumkan Jwanita bakal disambung, Maya mengakui terkesan apabila peminat lebih mengingati penampilannya dalam filem seram berbanding genre lain yang pernah dicubanya.

Perkara itu pernah dibangkitkan peminat menerusi laman Twitter yang mempersoalkan kecenderungannya beraksi dalam filem seram (gambar atas).

"Ternyata, lakonan saya dalam filem seram atau hantu lebih berbekas di hati segelintir peminat. Saya tidak nafikan filem seperti Pontianak Harum Sundal Malam dan terbaharu, Jwanita, mengukuhkan tanggapan mereka. Setiap kali pertanyaan itu diajukan, saya akan termangu dan termenung jauh.

"Saya pernah bangkitkan hal yang sama kepada pembantu peribadi. Baginya, ia satu penghargaan kerana saya mampu menghidupkan karakter itu dengan berkesan hingga peminat sentiasa teringat mengenainya. Cuma ada ketika, saya tertanya-tanya kerana banyak filem lain lakonan saya yang ditayangkan di kaca televisyen dan pawagam," katanya yang berkolaborasi dengan Juzzthin menerusi lagu, Serik Dengan Cinta.

Berita Harian X