Sabtu, 6 Februari 2016 | 6:30pm

Ekonomi Labuan pulih apabila pasaran minyak meningkat - PM

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersama Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (kiri) dan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli (kanan) pada majlis perasmian Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Labuan. - Foto Malai Rosmah Tuah

LABUAN: Datuk Seri Najib Razak berkata, situasi ekonomi Labuan yang terjejas akibat penurunan aktiviti berkaitan minyak dan gas susulan kejatuhan harga minyak ketika ini, akan pulih apabila pasaran minyak kembali melonjak.

Perdana Menteri berkata, semua pihak perlu bertahan manakala harus memahami keadaan ini serta meyakini keadaan ekonomi kembali aktif apabila pasaran industri minyak pulih.

Katanya, Labuan menerima kesan lebih ketara berbanding kawasan lain berikutan kedudukan ekonomi pulau ini yang banyak bergantung kepada industri minyak dan gas.

"Ia adalah satu kitaran dan kita yakin ekonomi dunia boleh pulih. Dalam keadaan ini, kita mesti bertahan dan memahaminya.

"Kita boleh menanganinya dan meletakkan asas yang kukuh kepada ekonomi," katanya berucap pada Majlis Perasmian Pusat Transformasi Bandar (UTC) Labuan, di sini, sebentar tadi.

Yang turut hadir ialah Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli.

Sementara itu, Najib berkata langkah kerajaan mengawal penjualan rokok, minuman keras dan kenderaan di pulau bebas cukai termasuk pulau itu tidak menjejaskan taraf bebas cukai dinikmati penduduknya.

Katanya, kawalan yang diumumkan dalam Pengubahsuaian Bajet 2016 itu bertujuan memastikan aktiviti penyeludupan dihentikan, sekali gus memberi lebih banyak pendapatan kepada negara yang akhirnya digunakan untuk melaksanakan pelbagai program untuk rakyat.

"Saya harap rakyat memahami langkah ini supaya kita dapat menutup ketirisan yang menyebabkan negara kehilangan kira-kira RM1 bilion hasil cukai," katanya.

UTC Labuan yang mula beroperasi bulan lalu menempatkan 14 agensi kerajaan dan swasta di pulau ini termasuk Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Imigresen serta sebuah gimnasium dan taska.

Perkhidmatan yang disediakan di UTC Labuan bukan saja memanfaatkan warga pulau ini, malah memberi kemudahan kepada penduduk kawasan berhampiran seperti Menumbok, Kuala Penyu dan Sipitang, Sabah serta Lawas dan Limbang di Sarawak, berikutan kedudukannya lebih dekat berbanding Kota Kinabalu dan Kuching.

Pelaksanaan UTC Labuan membabitkan perbelanjaan RM23 juta dan disiapkan dalam tempoh dua bulan sejak dimulakan pada Oktober tahun lalu.

Berita Harian X