Isnin, 8 Februari 2016 | 5:35pm

Malaysia sekat salad import dari Australia

KETUA Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto Surianie Mohd Hanif

KUALA LUMPUR: Malaysia sudah mengenakan larangan import terhadap produk salad keluaran Australia, berkuat kuasa semalam, berikutan laporan ia dicemari bakteria Salmonella.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata tindakan itu diambil sebagai langkah berjaga-jaga, berikutan laporan oleh Food Standards Australia New Zealand (FSANZ), yang salad itu tercemar.

Katanya, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) mengesahkan produk yang dicemari bakteria itu hanya dieksport ke Singapura, Hong Kong dan Thailand.

"Jabatan Pertanian dan Sumber Air Australia sudah mengenal pasti produk yang dieksport ke negara berkaitan dan telah mengambil tindakan kawalan.

"Di samping itu, Jabatan Pertanian Australia juga sudah mengesahkan produk terbabit tidak dieksport ke Malaysia," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Seksyen 13 Akta Makanan 1983 memperuntukkan mana-mana pihak terbabit mengimport, mengedar, menyimpan atau menjual makanan yang ada dalam atau padanya bahan beracun, merosakkan atau selainnya memudaratkan kesihatan, termasuk bakteria patogenik seperti Salmonella adalah melakukan suatu kesalahan.

Sabit kesalahan, pihak terbabit boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya.

Sehubungan itu, Dr Noor Hisham katanya, pengguna tidak perlu khuatir kerana KKM sentiasa menjalankan aktiviti penguatkuasaan dan pemantauan ke atas isu yang berhubung dengan keselamatan makanan bagi memastikan kesihatan orang ramai sentiasa terjamin.

Berita Harian X