Selasa, 9 Februari 2016 | 11:46am

1,000 banjiri Pesta Belon Udara Panas


SEBAHAGIAN belon udara panas berlegar di Padang Polo sempena Fiesta Belon Udara Panas Pulau Pinang. - Foto Ramdzan Masiam

GEORGETOWN: Lebih 1,000 pengunjung membanjiri hari pertama Pesta Belon Udara Panas Pulau Pinang 2016 yang diadakan di Padang Polo di sini, hari ini.

Dengan penyertaan lebih 15 pengusaha belon udara panas dari seluruh dunia, pesta berkenaan mempamerkan pelbagai rekaan unik belon udara panas, termasuk rekaan monyet api sempena perayaan Tahun Baharu Cina.

Ketua Pegawai Eksekutif AKA Balloon, Izzati Khairudin, berkata semua tiket pada sesi pagi ini sudah habis dijual seawal jam 9 pagi.

"Kita hanya ada dua sesi sahaja setiap hari untuk memberi peluang pengunjung merasai pengalaman menaiki belon udara panas, di mana setiap sesi hanya 50 tiket sahaja dijual.

"Untuk sesi pagi ini, semua tiket sudah habis, tetapi untuk sesi petang, tiket masih ada lagi. Setiap tiket dijual pada harga hanya RM50," katanya.

Izzati berkata, pihaknya mensasarkan lebih 100,000 pengunjung akan menghadiri dan memeriahkan pesta belon udara panas yang berlangsung selama dua hari itu, mulai hari ini.

Berita Harian X