Selasa, 9 Februari 2016 | 3:45pm
KEJUTAN hari jadi Erra Fazira di Kuala Lumpur. - Foto ihsan Instagram Umie Aida

Che Ta suruh Erra cepat kahwin

KEJUTAN hari jadi Erra Fazira di Kuala Lumpur. - Foto ihsan Instagram Umie Aida

KUALA LUMPUR: Semalam, pelakon jelita, Erra Fazira menerima kejutan sambutan hari jadinya yang ke-42 tahun, sehari lebih awal.

Jika sebelum ini, Erra menjadi 'dalang' dengan menganjurkan parti kejutan sempena hari jadi teman baiknya, Datin Umie Aida, kali ini, Umie pula 'membalas dendam'.

Tak sampai seminggu dirancang, akhirnya sesi parti kejutan itu diadakan di ibu negara dengan dihadiri kira-kira 20 teman baik termasuk Datuk Ziela Jalil, Betty Banafe dan Linda Onn.

"Terima kasih kawan di atas ingatan, doa serta kasih sayang yang kalian berikan padaku selama ini. Semoga Allah membalas kebaikan kalian dengan sejuta rahmat dan keberkatan-Nya. Sayang kalian.

"Semalam, memang saya terkena kejutan hari lahir daripada mereka yang saya sayangi. Bayangkan, sudah atur beberapa acara, habis semuanya dek kejutan ini.

"Apapun, acara kejutan ini cukup bermakna dan saya menikmatinya dengan cukup indah bersama kalian. Terima kasih juga kepada yang bersusah payah membantu merealisasikan kejutan ini," kata Erra pada laman Instagram.

Melalui laman sosial yang sama, Umie turut memuat naik beberapa keping gambar majlis kejutan hari jadi Erra serta mesej:

'Kejutan hari lahir yang tak berapa menjadi. Selamat hari lahir makcik (panggilan sesama teman baik). Semoga sentiasa dalam rahmat-Nya dan diberkati selalu," kata Umie.

Tak ketinggalan mengucapkan selamat hari lahir kepada Erra Fazira ialah Rozita Che Wan yang berganding dengan Erra sebagai hos program bual bicara, Primadona.

"Selamat hari lahir sahabatku. Semoga hari ini dan hari mendatang memberikan sejuta kebahagiaan buatmu. Cepat kahwin ya. Paling lambatpun hujung tahun ini.," seloroh Rozita,

Berita Harian X