Selasa, 9 Februari 2016 | 8:26pm

Paus mati terdampar di Sungai Sarang Buaya


PAUS yang tersangkut pada lumpur ketika air surut di Pantai Rambah, dekat Pontian, semalam. - Foto ihsan pembaca

BATU PAHAT: Paus yang tersangkut pada lumpur ketika air surut di Pantai Rambah, dekat Pontian, semalam ditemui mati selepas terdampar di Sungai Sarang Buaya, berhampiran Semerah, dekat sini, petang tadi.

Bangkai paus dianggar sepanjang 9.14 meter itu ditemui nelayan dan penduduk berhampiran kira-kira jam 4.30 petang tadi.

Ketua Penguatkuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pangkalan Batu Pahat, Leftenan Komander Muhammad Zulkarnain Abdullah, berkata empat anggota APMM dikejarkan ke lokasi kejadian menggunakan bot peronda sebaik dimaklumkan.

"Setibanya di lokasi kejadian, paus berkenaan didapati tersangkut di beting lumpur kawasan muara Sungai Sarang Buaya.

"Ketika ditemui, paus berkenaan masih hidup. Anggota APMM dan 15 nelayan cuba membantu menariknya semula ke tengah laut.

"Namun, kira-kira satu jam setengah kemudian ketika operasi menyelamat sedang dijalankan, paus berkenaan didapati sudah mati akibat kekurangan air," katanya.

Beliau berkata, tindakan selanjutnya akan dilakukan esok berikutan keadaan semakin gelap petang ini.

Petang semalam, paus berkenaan ditemui tersangkut pada lumpur ketika air surut di Pantai Rambah, Pontian, dekat sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, kehadiran ikan paus berkenaan disedari orang awam yang berkunjung ke taman rekreasi berhampiran pantai berkenaan.

Berita Harian X