Rabu, 10 Februari 2016 | 12:04am
ALMY Nadia mengakui tiada kemunculan di kaca televisyen kerana tiada tawaran berlakon kepadanya ketika ini.
KENANGAN Fizz Fairuz dan Almy Nadia pada majlis persandingan mereka di Dataran Raub, Pahang.

Almy perjelas dakwaan dikongkong Fizz Fairuz


MENERUSI sebuah program hiburan yang disiarkan baru-baru ini, pelakon, Fizz Fairuz, ada mengeluarkan kenyataan beliau lebih selesa melihat isterinya, Almy Nadia, duduk di rumah membesarkan anak berbanding beraksi di depan kamera.

Menurut Fizz, kenyataan itu dikeluarkan kerana beliau bimbang rumah tangganya terabai jika pelakon wanita itu sibuk di lokasi.

Andai diperhalusi apa yang dikatakan pelakon filem Mat Tudung itu, mungkin ada kebenarannya.

Memandangkan anak sulung mereka masih kecil, tentunya memerlukan perhatian yang lebih daripada si ibu.

Bagaimanapun, dari aspek lain, ia seolah-olah menggambarkan pelakon berasal dari Pulau Pinang itu dikongkong suami sendiri. Apatah lagi apabila kelibat Almy sendiri sudah lama tidak kelihatan di kaca televisyen dan acara hiburan. Ia seperti mengesahkan dakwaan nakal berkenaan.

Enggan terus berteka-teki, BH menghubungi pelakon filem Nana Tanjung ini untuk mendapatkan penjelasan.

FIZZ Fairuz bersama Almy Nadia mengutamakan anak mereka, Nur Afrina Arianna, yang sedang membesar.

Sambil menafikan dirinya dikongkong oleh suami seperti yang didakwa, Almy berkata, 'kehilangannya' daripada dunia seni disebabkan tiada tawaran berlakon yang diterima.

"Fizz bukan tidak membenarkan saya berlakon, jauh sekali cuba mengongkong saya. Beliau masih memberikan keizinan untuk saya berlakon, asalkan tidak mengabaikan keluarga, termasuk dirinya.

"Kalau watak yang ditawarkan sesuai dan kena pada masanya, saya tetap akan terima. Cuma, saya akui tiada tawaran berlakon yang datang.

"Saya juga kena bersikap realistik kerana ketika ini pelakon baharu tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Kalau hendak dibandingkan dengan zaman saya dulu, memang susah. Rupa kena tolak ke tepi, tetapi lakonan perlu bagus. Ia berbeza dengan era sekarang yang lebih mengutamakan rupa daripada bakat. Stesen TV pun ada kriteria tersendiri dalam mencari pelakon untuk drama yang disiarkan," kata pemilik nama penuh Almy Nadia Aminuddin Shah ini.

PELAKON, Almy Nadia, ketika hadir program ''Hello Kitty Around Malaysia di VIVA Home Expo, baru-baru ini.

Apabila mengeluarkan kenyataan sedemikian, ia kedengaran seolah-olah Almy begitu kecewa dengan senario itu. Hakikatnya, wanita berusia 30 tahun ini reda dengan apa yang berlaku.

"Mungkin ini bukan masa saya lagi, tetapi tidak mengapa. Saya tidak kecewa pun.

"Kalau ada rezeki nanti, saya akan berlakon juga. Jika bukan berlakon dengan produksi orang lain, mungkin di bawah syarikat saya sendiri. Manalah tahu satu hari nanti kalau kami terbitkan drama dan Fizz yang mengarah, dapatlah juga saya berlakon," katanya sambil tertawa.

PELAKON, Fizz Fairuz bersama isterinya, Almy Nadia dan anak mereka. -

KENANGAN Fizz Fairuz dan Almy Nadia memotong kek pada majlis persandingan mereka di Dataran Raub, Pahang.

Bercerita mengenai kehidupannya sekarang, Almy berkata beliau sangat bahagia apabila melihat puterinya, Nur Afrina Arianna, yang bakal menjangkau usia setahun pada 16 Februari depan membesar di depan mata.

Penat bagaimanapun, kata Almy, dirinya gembira kerana segala urusan si kecil dilakukan sendiri tanpa pertolongan pembantu rumah.

"Memang dari awal-awal lagi saya sudah memutuskan untuk membesarkan sendiri anak tanpa bantuan pengasuh. Membaca berita mengenai kejadian menakutkan membabitkan pengasuh, ditambah pengalaman beberapa teman, membuatkan saya lebih selesa menguruskan anak sendiri.

"Bimbang juga dengan apa yang sudah terjadi. Disebabkan hal itu juga saya lebih selesa tinggal di rumah berbanding menghadiri acara hiburan. Biarlah saya yang beralah dan keutamaan haruslah diberikan kepada Fizz.

"Jika acaranya sesuai, barulah saya akan hadir dan membawa sekali anak kami bersama-sama," kata Almy lagi.

Berita Harian X