Rabu, 10 Februari 2016 | 3:57pm
PELAKON, Faye Kusairi.

Faye berhijab tunai impian sejak tahun lalu

[gn4id:11934570]

KUALA LUMPUR: Pelakon Faye Kusairi, 29, akhirnya tampil dengan imej berhijab selepas menyimpan hajat untuk berbuat demikian sejak tahun lalu.

Faye berkata, beliau menangguhkan niat untuk berhijrah bagi melunaskan komitmen kerja yang sudah dipersetujui terlebih dulu.

Pelakon yang popular menerusi drama bersiri Istikharah Cinta itu mengaku dirinya kini dapat menarik nafas lega apabila mampu menunaikan niat menutup aurat.

"Saya sudah menyimpan hajat untuk bertudung sejak tahun lalu, namun terpaksa menangguhkan hajat kerana terikat dengan komitmen kerja. Alhamdulillah, saya dapat menunaikan impian untuk berhijab.

"Boleh dikatakan hajat dan niat saya ini dapat disempurnakan pada masa yang sesuai. Allah sudah menyusun jalan hidup saya sebaik mungkin," katanya kepada BH Online.

Enggan merahsiakan imej terbaharunya, Faye memuat naik gambar di akaun Instagram miliknya, beberapa jam lalu. Rata-rata peminat turut mendoakan agar pelakon wanita itu istiqamah dengan penghijrahannya.

Berita Harian X