Khamis, 11 Februari 2016 | 3:30pm
KUMPULAN Search pada sidang media Konsert Search 35 Tahun di Redland Terminal Centre & Hangar Complex. - Foto Munira Abdul Ghani

Amy Search teringin timang cahaya mata lagi

PENYANYI, Amy Search bersama anaknya, Nabila Huda. - Foto Munira Abdul Ghani

SUBANG: Walaupun sudah memiliki lima anak dan seorang cucu, namun penyanyi rock terkenal, Amy Search, tetap teringin untuk menimang seorang lagi cahaya mata.

Menurut pemilik nama penuh Suhaimi Abdul Rahman ini, beliau juga tidak kisah andainya ditakdirkan dirinya dan anak sulung, pelakon Nabila Huda sama-sama mempunyai anak kecil satu hari nanti.

"Saya memang teringin untuk mempunyai anak lagi. Memandangkan Nabila baru saja mendirikan rumah tangga, saya juga ada katakan padanya, saya mahu lihat siapa antara kami yang akan terlebih dulu menimang cahaya mata?" kata Amy ketika ditemui pada majlis pelancaran Konsert Search 35 Tahun di Redland Terminal Centre & Hangar Complex, di sini, malam tadi.

Tidak berseloroh, Amy menegaskan beliau memang menaruh harapan untuk menambahkan zuriat kerana sifatnya yang sukakan kanak-kanak.

Vokalis kumpulan Search ini berkata demikian sebagai mengulas gambar yang dimuat naik olehnya di laman Instagram beliau, baru-baru ini.

Gambar berkenaan menunjukkan beliau sedang mengendong anak patung sambil disaksikan isterinya, Norhasniza Hassan atau Norish.

Gambar yang mendapat lebih 1,200 'like' dan pelbagai komen itu diiringi keterangan yang berbunyi: "Berangan Nak Dapat Seorang Lagi."

Rata-rata peminat memberikan komen positif dan mengalu-alukan keinginan Amy untuk mempunyai anak lagi.

Sementara itu, berbicara mengenai konsert yang bakal berlangsung pada 9 April depan di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur, Amy menjanjikan persembahan terbaik untuk peminat yang setia menyokong kumpulan berkenaan sejak lebih tiga dekad lalu.

"Konsert ini sebuah persembahan cukup sempurna buat Search. Apa yang kami tidak peroleh ketika menjayakan konsert Search sebelum ini, semuanya ada dalam persembahan ini. Saya yakin, peminat akan puas hati dan ia akan memahat kenangan paling indah buat mereka," janjinya.

Kumpulan yang cukup popular menerusi lagu Isabella dan Fantasia Bulan Madu itu cukup bertuah apabila konsert mega terbabit mendapat penajaan daripada peminat mereka sendiri.

Perkara itu diakui sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Afjets Sdn Bhd, Amrul Nizar Anuar, selaku penaja.

"Kami membesar dengan lagu Search dan bagi kami, mereka adalah kumpulan rock yang unik dan memiliki keistimewaan tersendiri. Bagi konsert ini, kami membelanjakan sekitar RM2 juta," katanya.

Tiket konsert berkenaan dijual pada harga RM135, RM288, dan RM899. Ia boleh dibeli mulai hari ini dengan melayari www.tiketpro.com.my.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X