Khamis, 11 Februari 2016 | 10:57pm

Musim baharu Gerak Khas mula bersiaran 4 Mac

PELAKON Gerak Khas 2016, dari kiri, Zek Zamri, Latisha Shamsir, C Kumaresan, Salina Saibi, Syamsul Yusof, Fattah Amin, Raja Ramilah Raja Mohamad dan Saiful Nizen Ayob pada majlis pelancaran dan sidang media Gerak Khas 2016 di Pawagam Mini P.Ramlee Finas. - Foto Adi Safri

KUALA LUMPUR: Drama bersiri bercorak kepolisan, Gerak Khas akan memulakan siaran musim baharu pada 4 Mac ini.

Drama terbitan syarikat Skop Production itu, yang menampilkan 26 episod pada musim ini akan disiarkan setiap Jumaat, 9 malam di TV2.

Pengarah Urusan Skop Production, Datuk Yusof Haslam, berkata drama yang bersiaran lebih 15 tahun itu menampilkan barisan pelakon baharu termasuk Fattah Amin dan Raja Ilya bagi memberi nafas segar pada musim ini.

"Enam pengarah yang turut serta dalam penggambaran musim ini iaitu saya (Yusof Haslam), Syamsul Yusof, Aziz M Osman, Faizal Yusof, C Kumaresan dan Majed Salleh akan memberi pelbagai sentuhan dalam setiap episod," katanya pada majlis pelancaran dan sidang media Gerak Khas 2016 di Pawagam Mini P.Ramlee Finas, di sini, hari ini.

Majlis itu dilancarkan oleh Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari. Turut hadir Pengerusi Finas, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib.

Sementara itu, ketika berucap, Jailani berkata, Gerak Khas mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi satu-satunya drama yang mampu bertahan dalam tempoh lebih sedekad.

Beliau berkata, kementerian mengharapkan supaya lebih banyak isu dan ancaman dihadapi pada masa kini yang dibawa oleh media baharu, dapat ditonjolkan dalam drama-drama seperti Gerak Khas.

"Saya menyeru kepada semua penerbit agar tidak mengabaikan tanggungjawab sosial kepada masyarakat. Berilah makna kepada usaha yang dibuat.

"Hasilkanlah rancangan yang bukan sahaja mempunyai nilai komersial, tetapi mempunyai nilai kepada kehidupan dan memberi pengajaran kepada penonton," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X