Jumaat, 12 Februari 2016 | 7:43am

ATM sedang usaha bayar gaji 15 pemain

KETUA Pegawai Eksekutif PFAM, Izham Ismail (duduk empat dari kiri) bersama Presiden PFAM, Hairuddin Omar (duduk tiga kiri) dan Timbalan Presiden PFAM, Rezal Zambery Yahya (duduk dua dari kanan) serta para pemain menunjukan simbol bantahan di sidang media Professional Footballers Association of Malaysia (PFAM) mengenai tunggakan gaji pemain bola sepak di Dewan Datuk Ho Koh Chye, Hotel Olympic Sport, 9 Februari lalu. Gambar kecil, Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Angkatan Tentera (PBAT), Mejar Jeneral Datuk Mazlan Kasap. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

SEREMBAN: "Kami tidak ada duit, jadi bagaimana kami hendak membayar gaji 15 pemain Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M) musim lalu. Jika kewangan mengizinkan...kami akan bayar," kata Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Angkatan Tentera (PBAT), Mejar Jeneral Datuk Mazlan Kasap, semalam.

Beliau berkata demikian sebagai menjelaskan punca pihaknya gagal melunaskan gaji pemain terbabit, yang tertunggak satu bulan hingga enam bulan pada saingan Liga M musim lalu.

"Kami faham pemain terbabit sudah bertungkus-lumus mengerah tenaga mereka membantu pasukan sepanjang musim lalu.

"Bagaimanapun, kami berhadapan dengan masalah kewangan dan tidak dapat membayar gaji mereka. Kami tidak akan membiarkan masalah ini begitu saja, kami sedang berusaha mencari sumber kewangan untuk melunaskan tunggakan gaji mereka," katanya.

Kelmarin, BH Sukan melaporkan ATM, Kelantan dan FELDA United FC adalah antara pasukan yang dikenal pasti gagal membayar gaji 21 pemain mereka berjumlah RM4.47 juta untuk musim lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pemain-Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM), Izham Ismail, berkata ATM mencatatkan jumlah tertinggi apabila gagal membayar gaji 15 pemain mereka membabitkan jumlah tunggakan sebanyak RM3.7 juta.

Ia diikuti Kelantan dengan lima pemain yang tidak menerima gaji untuk tiga bulan membabitkan tunggakan berjumlah RM477,000, manakala FELDA United, gagal melunaskan bayaran gaji sebanyak RM220,000 yang dituntut seorang bekas pemainnya.

Mazlan berkata, bekas pemain import ATM, Marlon Alex James dan beberapa pemain lain juga pernah berdepan masalah sama sebelum ini, tetapi PBAT berjaya melangsaikan tunggakan gaji mereka.

"Kami sudah memaklumkan kepada penganjur Liga M, Usaha Sama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) mengenai kekangan kewangan yang kami hadapi," katanya.

Justeru, Mazlan berharap pihak FMLLP dapat bertolak ansur dalam perkara ini dan perlu lihat secara menyeluruh keupayaan sesebuah pasukan sebelum mengambil tindakan tegas.

Berita Harian X