Sabtu, 18 Oktober 2014 | 7:04pm

Keluar fatwa haramkan ketum - PEMADAM

JITRA: Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) meminta Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa yang mengharamkan penggunaan daun dan air ketum di negara ini.

Yang Dipertuanya, Datuk Mohd Johari Baharum, berkata ini kerana penggunaan air dan daun ketum akan memudaratkan kesihatan mereka yang mengambilnya secara berlebihan dan berterusan.

Beliau berkata, pihaknya bimbang kerana penyalahgunaan ketum kini menular dalam kalangan pelajar sekolah yang menjadikan air ketum sebagai minuman harian, malah turut dibawa ke sekolah.

"Penyalahgunaan ketum amat serius. Dahulu, di utara Semenanjung sahaja tetapi kini ia telah merebak ke Terengganu, Perak dan Pahang.

"Saya terima aduan ada nelayan di Pahang minum air ketum sebelum ke laut," katanya pada majlis penutup seminar Penyalahgunaan Ketum: Pembunuh Senyap Anak Bangsa di Sekolah Menengah Kebangsaan Hosba di sini, hari ini.

Mohd Johari berkata, PEMADAM juga berharap Jabatan Peguam Negara menyegerakan proses mewartakan penyalahgunaan ketum dalam Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana ketum mengancam keselamatan di negara ini.

"Saya merayu kepada kerajaan agar dipercepatkan rang undang-undang berkaitan ketum ini agar tindakan boleh diambil terhadap pengusaha tanaman ketum yang merosakkan rakyat," katanya.

Sementara itu, Mohd Johari yang juga Ahli Parlimen Kubang Pasu meminta kerajaan Kedah menggubal undang-undang tanah bagi mengharamkan penanaman tanaman memudaratkan seperti ketum.

Katanya, kerajaan negeri berhak merampas tanah pengusaha ketum sekiranya melanggar undang-undang yang ditetapkan dan berhak untuk memusnahkan pokok ketum yang ditanam.

"Di Thailand, pihak berkuasa akan tebang pokok ketum selain mengenakan denda 500 baht bagi sehelai daun ketum," katanya.

- BERNAMA

Berita Harian X