Jumaat, 12 Februari 2016 | 5:17pm

Leka kutip kerang, keselamatan diabaikan

Orang ramai masih lagi mencari kerang yang terdampar di pantai Sura, Dungun, walaupun semalam seorang remaja mati lemas ketika mandi mencari kerang di pantai berkenaan. - Foto Imran Makhzan

DUNGUN: Tragedi seorang remaja lemas ketika mencari kerang di Pantai Sura di sini petang semalam, sedikitpun tidak dijadikan pengajaran oleh orang ramai yang dilihat tidak mengendahkan aspek keselamatan kerana asyik mengumpul kerang.

Ibu bapa dilihat membiarkan anak bermain dan mandi di pantai tanpa pengawasan sehingga ada yang nyaris lemas apabila ditarik ombak besar. Seorang kanak-kanak berusia tiga tahun semalam hampir lemas, namun sempat diselamatkan bapanya.

Tinjauan BH hari ini mendapati, ombak besar yang boleh mengancam keselamatan, tidak menimbulkan rasa gentar dan risau kepada lebih 300 pengunjung yang leka mencari kerang di pantai terbabit.

Pegawai Pembangunan Parlimen Dungun, Datuk Din Adam, berkata kejadian lemas menimpa pelajar Mohd Firdaus Sulong, 17, semalam, sepatutnya diberi perhatian serius oleh semua pihak.

"Aktiviti seperti ini amat baik untuk merapatkan hubungan kekeluargaan, namun aspek keselamatan harus dititikberatkan. Kita tidak mahu kegembiraan mengutip kerang bertukar tragedi menyedihkan. Ibu bapa harus awasi pergerakan anak-anak," katanya.

Penduduk, Ibrahim Wahab, 61, berkata kebanyakan yang datang mencari kerang di pantai itu adalah orang luar kampung terbabit dan tidak mengendahkan papan tanda amaran bahaya yang diletakkan pihak berkuasa.

Berita Harian X