Sabtu, 13 Februari 2016 | 11:19am

Ringgit diunjur rendah berbanding dolar AS minggu depan

KUALA LUMPUR: Ringgit berkemungkinan diniagakan rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan berikutan kelemahan ekonomi global yang berterusan serta kekurangan rangsangan hasil tindakan pihak Rizab Persekutuan AS (Fed) bagi menyokong pasaran, kata penganalisis.

"Ekonomi global berdepan tekanan akibat ketidaktentuan yang berterusan disebabkan harga minyak mentah serta risiko pendedahan sektor perbankan Eropah terhadap bon berkaitan minyak," kata Naib Presiden dan Ketua Penyelidikan Runcit Affin Hwang Investment Bank, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan.

Beliau berkata, walaupun Pengerusi Fed, Janet Yellen, mengakui bimbang mengenai pelaksanaan syarat kewangan lebih ketat serta risiko turun naik pasaran baru-baru ini, pasaran sebaliknya lebih tertumpu kepada kemelut negara maju yang mencatat pertumbuhan rendah.

Bagaimanapun, Nazri mengunjurkan ringgit berkemungkinan diniagakan sekitar paras 4.100 berbanding dolar AS minggu depan susulan jangkaan harga minyak mentah yang lebih tinggi serta peningkatan semula minat terhadap ringgit.

Pada minggu lepas, pasaran global menyaksikan harga minyak naik hampir lima peratus berikutan laporan bahawa pengeksport mungkin mengurangkan pengeluaran masing-masing.

"Jika harga minyak mentah global terus pulih, ia akan mendorong ringgit mencecah paras 3.95," katanya.

Minyak mentah Brent yang juga penanda aras global, diniagakan pada AS$31.43 setong, iaitu peningkat sebanyak AS$1.37 atau 4.56 peratus.

Pada minggu singkat akibat cuti umum ini, ringgit diniagakan rendah kepada 4.1650/1750 daripada 4.1520/1620 berbanding dolar AS pada Jumaat lepas yang sebahagian besarnya disebabkan ketidaktentuan ekonomi global serta pergerakan harga minyak mentah dunia.

Pasaran tukaran asing pula ditutup pada 8-9 Februari bersempena perayaan Tahun Baru Cina.

Unit tempatan itu rendah berbanding dolar Singapura kepada 2.9831/9918 daripada 2.9672/9754 pada Jumaat lepas dan susut berbanding yen kepada 3.6979/6081 daripada 3.5514/5612.

Ringgit juga rendah berbanding pound British kepada 6.0422/0583 daripada 6.0312/0478 dan merosot berbanding euro kepada 4.6973/6102 daripada 4.6469/6598, pada Jumaat lepas.

- BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X