Sabtu, 13 Februari 2016 | 7:38pm

Tiada kerang, pantai Sura kembali sepi

PANTAI Sura lengang selepas tiada lagi kerang memenuhi pantai terbabit. - Foto Rosli Ilham

DUNGUN: Pantai Sura dekat sini yang menjadi tumpuan orang ramai mengutip kerang lengang selepas tiada lagi kerang memenuhi pantai terbabit.

Tinjauan BH di kawasan pantai terbabit mendapati hanya beberapa pengunjung masih menjalankan aktiviti terbabit.

Seorang pelancong dari Damansara Selangor, Salina Hassan, 39, berkata dia datang ke Dungun untuk melawat keluarganya sebelum berkunjung ke pantai itu.

Katanya, dia dan keluarga mengambil peluang datang ke pantai itu selepas membaca akhbar berhubung pendaratan banyak kerang di situ.

"Saya baru tiba hari ini dan sangat terkejut apabila mendapati pantai terbabit lengang tanpa pengunjung.

"Mungkin mereka bimbang membawa keluarga ke pantai itu selepas akhbar melaporkan kejadian lemas yang meragut nyawa seorang pelajar di situ," katanya ketika ditemui di pantai itu, petang ini.

Bagaimanapun, katanya dia bersetuju dengan amaran yang dikeluarkan pihak berkuasa berikutan keadaan ombak yang masih kuat dan boleh membahayakan nyawa pengunjung.

Penduduk, Mohamad Embong, 58, berkata masih terdapat pendaratan kerang di pantai terbabit namun sudah berkurangan berbanding beberapa hari lalu.

"Ramai yang datang cuma memerhati dari atas mungkin mereka bimbang akan keselamatan berikutan ombak masih besar," katanya.

Berita Harian X