Isnin, 18 Ogos 2014 | 12:35pm

DUN NS kutuk perbuatan tembak MH17, kekejaman Israel

SEREMBAN: Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Negeri Sembilan, sebentar tadi, sebulat suara meluluskan usul khas menzahirkan rasa simpati terhadap tragedi menimpa pesawat MH17 dan mengutuk tindakan menembak jatuh pesawat itu pada 17 Julai lalu.

Mereka turut meluluskan usul khas mengutuk serangan tidak berperikemanusiaan Israel terhadap penduduk Palestin di Semenanjung Gaza yang sudah mengorbankan ribuan nyawa dan mencederakan lebih ramai lagi orang awam yang tidak bersalah.

Usul itu diluluskan pada Persidangan Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Sembilan.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan yang membacakan usul terbabit, mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tidak bertamadun dan berperikemanusiaan pihak yang menembak jatuh sebuah pesawat komersial sehingga mengorbankan 298 orang termasuk 43 rakyat Malaysia.

Mohamad turut mengutuk keras serangan rejim Zionis dan mendesak mereka dikenakan tindakan tegas oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berikutan kekejaman dilakukan terhadap penduduk Palestin.

Berita Harian X