Ahad, 14 Februari 2016 | 12:15am
SIRA atau salt-lick adalah kawasan di mana haiwan mendapatkan garam mineral yang diperlukan tubuh haiwan di Taman Negeri Royal Belum dan boleh dikunjungi dan dilihat dengan lebih dekat. - Foto Muhaizan Yahya
TERDAPAT kesan tapak kaki haiwan dipercayai rusa bersaiz besar yang masih baharu menggunakan sira di Kem Sungai Papan. - Foto Muhaizan Yahya

Mencari sira garam dalam belantara Royal Belum

RENJER Perbadanan Taman Negeri Royal Belum menunjukkan ada kesan tapak kaki haiwan. - Foto Muhaizan Yahya

DERUAN enjin bot yang memuatkan lima hingga enam penumpang membelah ketenangan air di tasik tidak mengganggu keasyikan menikmati alam semula jadi yang cukup indah ini.

Penulis berasa cukup bertuah kerana dipilih menjalankan tugasan untuk menjelajah dan mengembara hutan semula jadi Royal Belum di Gerik, Perak.

Menghirup udara segar, memerhatikan pemandangan sekeliling yang menghijau membuatkan ia pengembaraan menyeronokkan walaupun sesekali terasa meletihkan kerana perjalanannya yang mengambil masa lama.

Bersama-sama rakan setugas lain dibawa ke tengah hutan belantara oleh sebuah agensi pelancongan negeri Perak semata-mata untuk melihat sendiri bagaimana hidupan liar mendapat zat garam dan mineral seperti kalsium, magnesium, natrium dan zink yang amat penting dalam diet pemakanan hidupan itu.

Setiap haiwan di hutan ini akan menjilat garam pada sira yang terdapat di kawasan tertentu di Hutan Royal Belum.

Sira garam yang juga dikenali sebagai 'jenut' di Kem Sungai Papan, Royal Belum, iaitu antara destinasi yang menjadi tumpuan pengembara dan pelancong tempatan dan luar negara apabila bertandang ke hutan ini.

PERMUKAAN laluan hutan yang basah dan lembap seolah-olah menjadi menjadi 'sarang' kepada pacat di sini. - Foto Muhaizan Yahya

Merentasi sarang pacat

Pengembaraan menuju ke lokasi sira garam atau jenut di Kem Sungai Papan diketuai oleh Renjer Pelancongan, Perbadanan Taman Negeri Perak, Mohd Yusri Abdullah Sani.

Hutan Royal Belum sahaja terdapat 12 lokasi utama jenut dan Kem Sungai Papan adalah paling mudah dikunjungi manusia.

Untuk tiba di jeti Kem Sungai Papan, pengunjung perlu menaiki bot dari jeti di Sungai Tiang dengan perjalanannya mengambil masa kira-kira 30 minit. Disebabkan laluan untuk ke jeti pendaratan terlalu sempit, setiap bot dibenarkan membawa tidak lebih sembilan penumpang.

Sejurus tiba di jeti Sungai Papan, pengunjung diberi taklimat mengenai beberapa peraturan dan adab serta 'pantang larang' masuh hutan yang mesti dipatuhi bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.

Untuk menyeberang Sungai Papan dari jeti, semua peserta perlu menaiki jambatan gantung. Hanya lima orang sahaja dibenarkan melalui jambatan gantung sepanjang kira-kira 100 meter itu pada setiap masa.

Melepasi jambatan gantung ini, kami meneruskan perjalanan ke kawasan sira garam yang mengambil masa sekitar 20 ke 30 minit.

Dalam perjalanan renjer hutan yang mengetuai rombongan akan terus memberi penjelasan mengenai beberapa pokok yang tumbuh di kawasan itu.

Permukaan laluan hutan yang basah dan lembap seolah-olah menjadi menjadi 'sarang' kepada pacat di sini.

Tidak hairanlah dalam perjalanan ini, kami menerima 'serangan' pacat yang tanpa disedari melekat di kasut, stoking malahan pada baju.

KAWASAN sira garam juga adalah 'lubuk' kepada pak belang mencari mangsanya. - Foto Muhaizan Yahya

Menjadi lubuk pak belang

Renjer akhirnya menunjukkan sebuah kawasan berbatu yang terdapat titisan mata air, dikatakan mengandungi garam mineral, yang dijilat oleh haiwan dalam hutan ini.

Ada ketikanya pengunjung yang bernasib baik dapat melihat kumpulan haiwan melintas atau berkunjung di sira itu untuk menjilat garam.

Bagaimanapun, kena berwaspada kerana ketika ini sang harimau boleh muncul dengan tiba-tiba kerana kawasan sira garam juga adalah 'lubuk' kepada pak belang mencari mangsanya.

Mohd Yusri berkata, bagi pemburu yang berpengalaman, kebiasaannya akan menunggu binatang buruan seperti rusa, kijang yang datang berkunjung di sira garam pada waktu malam dengan bersembunyi di kawasan yang agak tinggi atau di atas pokok.

Namun keadaan seperti itu tidak berlaku di Royal Belum, kerana semua kegiatan seumpama itu diharamkan sama sekali, kecuali yang membabitkan Orang Asli yang tinggal di kawasan itu.

'Klinik semula jadi' kepada haiwan

Mohd Yusri Abdullah Sani menjelaskan sira garam boleh dianggap sebagai 'klinik semula jadi' kepada jenis haiwan liar yang terdapat di kawasan itu kerana selain untuk mendapatkan bahan mineral, ia juga dijadikan ubat bagi merawat tubuh badan masing-masing dari semasa ke semasa.

"Garam ini menjadi salah satu bahan penting bagi membaiki masalah sistem penghadaman. Semua binatang liar juga memerlukan bahan berkenan.

"Semua binatang liar di kawasan ini akan datang ke sira garam ini, pada waktu tertentu untuk menjilat zat garam mineral serta nutrien penting seperti kalsium, magnesium, natrium dan zink di dalam diet pemakanan mereka.

"Seperti manusia, bintang juga memerlukan vitamin A, B, C, zat besi dan kalsium, cuma bezanya manusia mendapatkan semua khasiat berkenaan daripada bermacam jenis makanan yang dimakan setiap hari," katanya.

Berita Harian X