Ahad, 14 Februari 2016 | 11:47am

Presiden Brazil lancar 'perang' nyamuk virus Zika

PRESIDEN Brazil, Dilma Rousseff. - Foto AFP
PRESIDEN Brazil, Dilma Rousseff. - Foto AFP

RIO DE JANEIRO: Presiden Brazil, Dilma Rousseff melancarkan 'perang' pintu ke pintu terhadap nyamuk yang membawa virus Zika dan berjanji ia tidak akan menjejaskan Sukan Olimpik Rio, Ogos depan.

"Situasi ini tidak akan membuat kami berkompromi mengenai Olimpik," kata Rouseff yang menyertai askar menjalankan kempen ke seluruh negara untuk mengajak rakyat memerangi penularan virus berkenaan.

"Kami menaruh keyakinan bila tiba masanya Olimpik bermula kami akan akan berjaya menghapuskan nyamuk ini," katanya merujuk kepada nyamuk Aedes yang membawa virus itu.

Rio de Janeiro akan menjadi tuan rumah temasya sukan terbesar dunia itu bermula 5 sehingga 21 Ogos dengan atlet serta peminat dari seluruh dunia akan berkampung di bandar raya itu, sekali gus virus berkenaan mencetuskan kebimbangan ketika ini.

Brazil muncul negara Amerika Latin dan Caribbean yang paling terjejas teruk dengan 1.5 juta rakyatnya dijangkiti virus berkenaan sejak awal 2015. - AFP

Berita Harian X