Ahad, 14 Februari 2016 | 6:20pm

Penyelidikan di Antartika: Lebih 200 sampel dibawa pulang


ABU Bakar (tengah) bersama dengan kumpulan penyelidik dari 6 buah universiti tempatan yang menyertai Ekspedisi Penyelidikan Saintifik Malaysia ke Antartika 2016 tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, hari ini. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

SEPANG: Lebih 200 sampel berjaya dikumpulkan lapan penyelidik yang menyertai Ekspedisi Penyelidikan Malaysia ke Antartika 2016.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah, berkata antara sampel yang dikumpul adalah air, alga, sedimen, lumut, batuan, haiwan tidak bertulang belakang dalam laut, debunga, tanah, selain turut merekodkan bacaan gas rumah hijau dalam udara serta data geomagnetik.

Katanya, ada sampel berkenaan yang dianalisis di Antartika dan ada juga yang dibawa balik ke makmal di Malaysia untuk analisis selanjutnya.

"Sampel dan bacaan yang direkodkan adalah untuk beberapa kajian saintifik yang dijalankan penyelidik berkenaan, khususnya berkaitan hubung kait hidupan dengan Antartika, biodiversiti dan perubahan iklim serta kajian gas rumah hijau dan lapisan ozon.

"Hasil kajian ini akan dapat menyumbang pada penjanaan ilmu dan pengetahuan baharu yang boleh membantu masyarakat tempatan dan global untuk memahami fenomena perubahan iklim.

"Ini kerana wilayah polar (kutub) seperti Antartika adalah kawasan paling sesuai untuk kajian berikutan kadar pemanasan di situ lebih tinggi berbanding kawasan lain," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau menyambut ketibaan lapan penyelidik yang menyertai ekspedisi selama 22 hari bermula 18 Januari lalu, diketuai Dr Mohamad Huzaimy Jusoh dari Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Lapan penyelidik berkenaan mewakili enam universiti tempatan iaitu UiTM, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU).

Berita Harian X