Ahad, 14 Februari 2016 | 8:14pm

Pengetua dan anak maut, kereta bertembung lori

DUA beranak maut dalam kemalangan di FELDA Jengka 19, dekat Kampung Awah, di sini, jam 1 tengah hari tadi. - Foto ihsan bomba

MARAN: Dua beranak maut dalam kemalangan di FELDA Jengka 19, dekat Kampung Awah, di sini, jam 1 tengah hari tadi.  

Mangsa, Mohd Rozi Mat Sani, 48 dan anaknya, Mohd Adam, 10, disahkan maut di lokasi kejadian selepas kereta PERODUA Kelisa dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori.

Jurucakap polis berkata, mangsa adalah Pengetua Cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan Jengka Pusat, Maran dan anak jati FELDA Jengka 18.

Katanya, kereta PERODUA Kelisa itu dipandu anak mangsa, Mohd Afiq Zakuan, 18, dipercayai bergesel dengan sebuah kenderaan lain menyebabkannya hilang kawalan dan bertembung dengan lori dari arah bertentangan.

Mohd Afiq Zakuan cedera parah dan kini dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAH), Temerloh.

Difahamkan, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Jengka untuk bedah siasat dan sudah dituntut ahli keluarga mereka.

Jenazah dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Gau, Temerloh, malam ini.

Berita Harian X