Ahad, 14 Februari 2016 | 10:17pm

Asrama SMA As-Siddiqiah musnah terbakar

bhnews.com.my


PELAJAR melihat buku selepas dua blok asrama SMA As-Siddiqiah terbakar, hari ini. - Foto Amran Hamid

KUALA NERANG: Dua blok bangunan asrama Sekolah Menengah Agama (SMA) As-Siddiqiah, Padang Kerasah, dekat Naka, di sini, musnah dalam kebakaran, petang tadi, dengan nilai kerugian dialami dianggar mencecah RM1 juta.

Selain memusnahkan blok asrama lelaki dan perempuan menyebabkan 170 pelajar tinggal sehelai sepinggang, kebakaran kira-kira jam 5 petang itu turut menyebabkan surau yang berada di bahagian atas satu blok dua tingkat itu hangus.

Berdasarkan maklumat, semua pelajar membabitkan 120 lelaki dan 50 perempuan berusia antara 13 tahun dan 17 tahun bagaimanapun bernasib baik kerana berada di surau berikutan baru selesai menunaikan solat Asar.


MOHD Lokman Sahabudin melihat blok asrama SMA As-Siddiqiah selepas kebakaran di Padang Kerasah, dekat Naka, hari ini. - Foto Amran Hamid

Pengetua sekolah, Mohd Sidek Junus, ketika ditemui mengakui buntu memikirkan nasib 170 pelajarnya yang kehilangan tempat tinggal selepas kebakaran itu, berikutan ramai dalam kalangan mereka bukan berasal dari kawasan sekitar.

"Saya sendiri tidak tahu di mana pelajar ini akan bermalam kerana surau sekolah juga turut terbakar. Insya-Allah kita akan cari jalan nanti demi keselamatan semua pelajar," katanya.

Katanya, lantai bahagian atas yang diperbuat daripada kayu terbakar dengan cepat menyebabkan ia runtuh dan menghempap bahagian bawah asrama itu.

"Kebakaran ini menyebabkan kerugian berjumlah lebih RM1 juta, termasuk membabitkan peralatan persekolahan, buku serta dokumen peribadi pelajar dan sekolah," katanya.


ANGGOTA bomba memadamkan sisa kebakaran di blok asrama SMA As-Siddiqiah, Padang Kerasah, dekat Naka, hari ini. - Foto Amran Hamid


215 dibaca
Berita Harian X