Isnin, 15 Februari 2016 | 6:33pm
HARIMAU jantan seberat kira-kira 170 kilogram yang terperangkap pada jerat babi berjaya diselamatkan dan dihantar ke NWRC untuk rawatan. - Foto ihsan polis

Harimau terperangkap dalam jerat babi

HARIMAU jantan seberat kira-kira 170 kilogram yang terperangkap pada jerat babi berjaya diselamatkan dan dihantar ke NWRC untuk rawatan. - Foto ihsan polis

TAPAH: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) menyelamatkan seekor harimau jantan yang terperangkap pada jerat babi, yang dipasang berhampiran perkampungan Orang Asli di Batu 10, Jalan Tapah, di sini, petang tadi.

Pengarah PERHILITAN negeri, Rozidan Mohd Yassin, berkata harimau yang dianggarkan berusia 14 tahun ke 17 tahun dengan berat kira-kira 170 kilogram itu dipindahkan dengan selamat oleh sepasukan petugas dari PERHILITAN Perak dan Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) Sungkai kira-kira jam 2 petang tadi.

"Daripada maklumat yang diterima, harimau jantan ini terperangkap pada jerat yang dipasang masyarakat Orang Asli untuk menangkap babi hutan petang semalam.

"Operasi memindahkan harimau jantan itu bermula jam 8 pagi tadi dan pelali berjaya ditembak pada jam 9.40 pagi bagi membolehkan haiwan itu dipindahkan dengan selamat," katanya ketika dihubungi.

Operasi itu membabitkan 15 kakitangan dengan diketuai Ketua NWRC, Ahmad Azhar Mohammed.

Berita Harian X