Isnin, 15 Februari 2016 | 8:12pm

Sasar 'sifar jalan berlubang' mulai tahun ini


FADILLAH pada sidang media Pertandingan Olympiad Matematik dan Sains di Kompleks Kerja Raya, hari ini. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya menyasarkan semua jalan di bawah selenggaraannya, 'zero pothole' atau sifar jalan berlubang, mulai tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata usaha ke arah itu telah pun dimulakan, antaranya menggerakkan pasukan audit untuk memantau keadaan jalan dan mengarahkan konsesi yang bertanggungjawab menjalankan kerja penyelenggaraan untuk segera memperbaiki kerosakan.

"Kita sudah wujudkan program 'Rakan JKR' iaitu pengguna sama-sama meninjau dan menyampaikan maklumat kepada kita apabila ada lubang pada jalan raya supaya syarikat konsesi boleh ambil tindakan.

"Jika syarikat konsesi lambat mengambil tindakan, mereka boleh dikenakan tindakan, termasuk penalti atau denda disebabkan kegagalan mematuhi syarat, terma perjanjian konsesi yang ditandatangani," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Katanya, syarikat konsesi yang dilantik bertanggungjawab sepenuhnya untuk memastikan jalan berada dalam keadaan yang baik, menguruskan aduan berkaitan kerosakan jalan dengan segera dan kualiti kerja mesti mematuhi piawaian yang ditetapkan.

Fadillah berkata, bagi memastikan kesegeraan untuk bertindak terhadap aduan berkaitan jalan berlubang, kementerian telah menetapkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) iaitu bagi lubang atau kerosakan ringkas, tindakan mesti diambil dalam tempoh 24 jam.

Katanya, bagi kerosakan jalan yang sukar diselesaikan, tindakan perlu dibuat dalam tempoh 14 hari, sementara masalah kerosakan yang lain perlu dilaksanakan tidak lewat dari setahun.

"Kita juga memerlukan kerjasama daripada orang ramai untuk memberi maklumat kepada kita melalui Twitter, laman web Aduan JKR dan akaun Facebook yang telah kita wujudkan," katanya.

Kementerian Kerja Raya bertanggungjawab ke atas penyelenggaraan lebuh raya, jalan persekutuan dan jalan FELDA.

Sementara itu, Fadillah yang juga Presiden Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (Gagasan) berkata, pertubuhan itu akan menganjurkan Pertandingan Olympiad Matematik dan Sains mulai Khamis hingga Sabtu ini.

Katanya, program yang diadakan bersempena Persidangan Agung Tahunan Gagasan kali keenam pada Sabtu ini bertujuan menggalakkan minat pelajar Bumiputera terhadap bidang Sains dan Matematik.

"Pertandingan ini diadakan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan dan akan disertai pelajar sekolah," katanya.

Pertandingan itu akan diadakan di Hotel Wira dan Pusat Belia Antarabangsa, Cheras, di sini. - BERNAMA

87 dibaca
Berita Harian X