Rabu, 17 Februari 2016 | 1:29pm

Larang bina rumah setinggan di tapak kebakaran

SAMSUDIN (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran di Kampung Disayang, di Sandakan. - Foto Poliana Ronnie Sidom

SANDAKAN: Kerajaan tidak membenarkan penduduk mendirikan semula rumah di tapak asal penempatan atas air Kampung Disayang, Batu Sapi, dekat sini, yang terbakar awal bulan ini, bagi menjamin keselamatan mereka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekong, Datuk Samsudin Yahya, berkata ia susulan arahan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) yang menetapkan tiada lagi rumah setinggan didirikan di kawasan pesisir pantai bagi menangani isu keselamatan.

Beliau berkata, pihaknya sudah menasihatkan mangsa kebakaran berpindah ke rumah keluarga, sementara kerajaan mencari langkah menyediakan penempatan kekal.

"Kerajaan berusaha mencari langkah untuk menempatkan mereka, namun memerlukan masa yang lama bagi mewujudkan penempatan baharu.

"Penduduk perlu bersabar dan mengikut peraturan ditetapkan dalam usaha pasukan keselamatan memelihara keselamatan di negeri ini," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran di Kampung Disayang, dekat sini, sebentar tadi.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif ESSCOM, Noor Alam Khan Abdul Wahid Khan. Seramai 104 keluarga menerima sumbangan barangan keperluan dapur pada majlis itu.

Sementara itu, Samsudin meminta Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) bekerjasama untuk memasang pagar di tapak kebakaran itu bagi menghalang penduduk membina semula rumah setinggan di kawasan berkenaan.

Katanya, mangsa kebakaran Kampung Disayang tidak dapat ditempatkan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lupak Meluas yang baru siap dibina, kerana ia menjadi penempatan baharu bagi penduduk perkampungan atas air Lupak Meluas yang dirancang lebih awal.

"Penempatan atas air Lupak Meluas akan dirobohkan untuk pembinaan 320 unit rumah PPR lagi demi kebaikan penduduk," katanya.

Kebakaran di perkampungan atas air Kampung Disayang pada 4 Februari lalu menyebabkan lebih 100 rumah hangus sehingga lebih 500 penduduk hilang tempat tinggal.

Berita Harian X