Khamis, 18 Februari 2016 | 12:06am
IFA Raziah dapatkan suntikan HCG seminggu sekali.
IFA Raziah bersama Syarul Ridzwan dan Redza Rosli.

Ifa Raziah belanja RM1,000 seminggu kekal penampilan 'anak dara'


MENGAKU dirinya tidak cantik, artis kontroversi, Ifa Raziah, berhabis sehingga RM1,000 seminggu untuk mendapatkan suntikan human chorionic gonadotropin (HCG) bagi membuang lemak.

Mengamalkan pelbagai rutin kecantikan demi mengekalkan penampilan 'anak dara', Ifa memberitahu, biarpun terpaksa menanggung kos mahal, suntikan HCG amat diperlukan bagi mengatasi masalah berat badannya.

"Saya dapatkan suntikan HCG seminggu sekali. Kosnya sangat mahal, sekali suntikan saja mencecah RM1,000. Saya cuba lakukannya setiap minggu.

"Suntikan dibuat pada bahagian berlemak seperti perut, paha, lengan dan punggung. Ini bagi mencairkan lemak dengan cepat. Jadi. kalau saya bersenam, lebih cepat lemak dibakar," katanya kepada BH Plus.

Enggan berselindung dalam berkongsi rutin penjagaan diri, Ifa yang popular dengan lagu Ser Ser Ser memberitahu, HCG adalah sejenis suntikan horman bagi memecahkan lemak selain mengimbangi hormon dalam badan.

Malah, Ifa juga mengaku sudah mula melakukan rawatan platelet darah menerusi Platelet Rich Plasma untuk awet muda.

Ifa bertekad menguruskan badan kerana mahu mempromosikan single terbaharu berkonsep dangdut, Mulutmu Ku Cili Cili yang akan dilancarkan, bulan depan. Kali terakhir bekas peserta Gegar Vaganza musim pertama ini tampil dengan lagu baharu adalah pada tahun 2012.

Ifa berkata, biarpun dilihat keterlaluan oleh segelintir pihak, tindakannya 'berhabis' untuk kekal cantik bukanlah bermaksud dia mencari kesempurnaan.

"Apabila kita kurus, tak semestinya sihat, begitulah sebaliknya. Saya mahu yang sedang-sedang saja. Umur saya pun bukan makin menurun.

"Apa yang penting adalah menjaga kesihatan dan amalkan gaya hidup sihat. Saya tak merokok, begitu juga suami. Saya pun bukan jenis yang bersosial di luar rumah setiap malam kecuali kerana tuntutan kerja," katanya.

IFA Raziah, berhabis duit untuk cantik dan kekal kurus.

Nafi guna botox

Pernah terpalit gossip kononnya melakukan suntikan botox dan melakukan pembedahan kosmetik, Ifa berkeras menafikannya.

Namun, Ifa mengaku melakukan pelbagai prosedur termasuk mengambil suntikan plasenta biri-biri untuk kecantikan kulit. Dia juga tidak malu mengaku melakukan rawatan ozon bagi membersihkan darah kotor.

Ifa yang diurus suami sendiri, Mohd Yani Abdul Rahman turut mendapat tajaan dalam menjaga kecantikan.

Namun, Ifa tidak lokek memperuntukkan bajet sekurang-kurangnya RM3,000 sebulan untuk tampil cantik.

"Saya bukanlah dalam kategori wanita yang boleh dianggap cantik sangat. Namun, sebagai wanita bekerjaya dan demi survival, soal penampilan diri perlu dijaga.

"Setiap bulan, saya akan cari masa untuk membuat rawatan muka termasuk teknik laser. Saya pergi ke spa dua kali sebulan untuk mendapatkan urutan selain mengikut program mengurangkan berat badan. Terlanjur sudah berada di spa, saya gemar menghabiskan masa di sauna," katanya.

Ifa berkata, dia juga suka melumur dan menyental badan atau scrub kita berada di spa.

"Kalau tak sempat, saya skrub badan di rumah dengan ramuan sendiri.

"Selain soal kecantikan, masalah utama adalah menurunkan berat badan. Cantik, cantik juga namun soal kesihatan kenalah jaga. Jadi, saya akan bersenam jika masa mengizinkan," katanya.

Ifa berkata, dia juga suka melakukan senaman zumba sebanyak dua hingga tiga kali seminggu.

"Selalunya saya berzumba pada sebelah malam. Saya juga bersenam mengikut teknik berintensiti tinggi, Miha Body Tech bersama jurulatih kecergasan," katanya.

PELAKON, Ifa Raziah.

Selalu 'servis' muka

Mengenai penjagaan wajah, Ifa memberitahu, sebagai anak seni yang sentiasa menjadi perhatian masyarakat, rutin itu tidak dapat dielak baik artis lelaki mahupun perempuan.

Apatah lagi hari-hari bersolek tebal, Ifa perlu sentiasa menjaga muka menggunakan produk keluaran sendiri, Seri Diva.

"Saya fikir rawatan muka sudah menjadi kewajipan tidak kira bagi lelaki atau perempuan. Biasalah jadi artis, mekap menjadi teman rapat. Nak tak nak, kenalah 'servis' muka untuk bersihkan apa yang 'bersarang' dalam kulit.

"Rambut pun sama kerana terdedah dengan semburan setiap kali bersolek," katanya.

Menolak andaian cuba menyekat proses penuaan, Ifa sentiasa mengingatkan diri agar rutin kecantikan yang diamalkan tidak mendatangkan kemudaratan.

"Untuk kekal cantik, kita perlu berkorban. Untuk mempertahankan kecantikan juga perlu berkorban.

"Saya cakap begini bukan bermaksud takut tua, tapi selagi ada pilihan, kita pasti mahu yang terbaik. Tua itu pasti kerana setiap orang pasti melaluinya. Nak cantik, semua orang nak cantik, tetapi janganlah sampai memudaratkan diri sendiri," katanya.

IFA dan Amyra Rosli di set penggambaran drama seindah takbir cinta.

Lagu ikut usia

Bercerita lanjut mengenai kerjaya nyanyian, Ifa menyifatkan lagu Mulutmu Ku Cili Cili bukan lagu dangdut biasa.

"Pihak Sony sudah memaklumkan kepada penyusun muzik dari Indonesia supaya memberi kelainan kepada lagu ini.

"Ini supaya sesuai dengan imej dan pasaran sekarang. Saya mahu lagu ini diputarkan di radio. Bimbang kalau bikin lagu, tapi radio tidak memainkannya. Namun, saya optimis dengan perancangan Sony Music," katanya.

Ifa berkata, lagu baharu itu sesuai dengan dirinya dan tidak keterlaluan daripada aspek muzik dangdut dan hip hop.

"Kalau hendak menyanyi lagu berentak remaja tidak sesuai dengan imej saya. Jadi, kenalah berpada-pada. InsyaAllah, mengikut perancangan, lagu ini akan dipasarkan bulan depan," katanya.

Ifa juga sedang melunaskan penggambaran drama Seindah Takdir Cinta untuk slot Akasia TV3, Ramadan ini. Dalam drama arahan pelakon, Zulhuzaimy itu, Ifa beraksi bersama Amyra Rosli.

"Saya melakonkan watak penting sebagai Datin Mariam. Zulhuzaimy cuba mengembangkan watak saya dengan pendekatan berbeza.

"Selepas lebih setahun tidak berlakon, saya teruja dengan tawaran ini," katanya.

Berita Harian X