Khamis, 18 Februari 2016 | 3:56pm

Mia akui tidak 'bermusuh' dengan Mira Filzah

PELAKON, Mia Ahmad dan Mira Filzah. - Foto Shazreen Zamzuri
PELAKON, Mia Ahmad dan Mira Filzah. - Foto Shazreen Zamzuri

KUALA LUMPUR: Pelakon, Mia Ahmad, menegaskan dia tiada masalah dengan seorang lagi bakat baharu, Mira Filzah, 23, yang kini semakin popular menerusi drama rantaian, Cinta Si Wedding Planner.

Khabar mengenai hubungan kurang baik membabitkan kedua-dua pelakon cantik itu mula timbul apabila munculnya gosip mengatakan percintaan dirinya dengan aktor, Syarul Ridzwan, 26, terputus kerana Mira.

Bagaimanapun, masing-masing Mia mahupun Syarul tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan mengesahkan mereka bercinta sebelum ini.

Mia atau nama sebenarnya Shamiha Ahmad Baderi, 28, berkata dia tidak mempunyai sebarang masalah dengan Mira, malah dirinya sentiasa bersikap profesional setiap kali mereka bertemu pada majlis serta acara hiburan.

"Saya tiada masalah dengan Mira. Kami baik-baik saja dan tiada istilah bermasam muka dengan gosip yang timbul. Tidak ada apa untuk saya jelaskan lagi mengenai isu ini.

"Biasalah, lumrah anak seni apabila sering terpalit dengan pelbagai kontroversi. Jadi saya memilih untuk tidak memanjangkan perkara ini," katanya kepada BH Online.

Tambah Mia, dia turut menyedari gosip berkenaan menjadi serius apabila ada pihak yang cuba melaga-lagakan mereka bertiga menerusi sebuah akaun laman sosial palsu.

Sementara itu, pelakon yang dikenali menerusi drama bersiri Hati Perempuan itu meluahkan rasa teruja dan bangga namanya dicalonkan dalam Anugerah Bintang Popular BH edisi ke-29 (ABPBH 29).

Bintang Hati Perempuan ini turut berterima kasih dengan sokongan padu peminat yang menjadi tunjang utama kerjaya seninya. Malah, peminatnya tidak putus-putus mengundi bagi memastikan bintang pilihannya itu mara hingga ke peringkat akhir.

"Alhamdulillah, saya sama sekali tidak menyangka nama saya tersenarai dalam pencalonan awal ABPBH 29. Teruja rasanya apabila nama saya buat julung kalinya mendapat pencalonan.

"Terima kasih tidak terhingga kepada kelab peminat yang memangkah dan mengundi nama saya. Sehinggakan ada peminat yang mengadu surat khabar di kawasan mereka sudah habis diborong.

"Cuma saya meminta kepada kelab peminat untuk tidak bertelagah sesama sendiri dengan tujuan menyokong artis kesukaan mereka. Berilah sokongan secara baik, janganlah sampai bergaduh-gaduh," kata Mia yang dicalonkan dalam kategori Artis Baharu Wanita Popular bersama-sama Mira.

Berita Harian X