Jumaat, 19 Februari 2016 | 10:58am

Op Selamat 8: Jumlah kematian menurun


TIMBALAN Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim. - Foto Muhaizan Yahya

KUALA LUMPUR: Sebanyak 19,572 kemalangan dicatatkan sepanjang pelaksanaan Op Selamat 8 sempena Tahun Baharu China berakhir 15 Februari lalu.

Meskipun meningkat 478 kes berbanding tempoh sama tahun lalu, namun kadar kematian mencatatkan penurunan 28 kes kepada 279 kes berbanding 307 kes pada Op Selamat 2015.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim, berkata peningkatan kadar kemalangan itu tidak melemahkan semangat Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan sentiasa mencari kaedah terbaik dalam usaha menurunkan kadar kemalangan.

"Pada Op Selamat 6 pada tahun lalu, jumlah kemalangan yang dicatatkan adalah 19,094 manakala Op Selamat 8 tahun ini meningkat 2.8 peratus kepada 19,572 kes.

"Bagaimanapun, jumlah kemalangan maut tahun ini dilihat menurun 23 kes kepada 261 berbanding 284 kes pada tahun lalu. Begitu juga dengan kematian dengan 279 berbanding 307 dalam tempoh sama tahun lalu, menurun 9.1 peratus atau 28 kematian," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan surat penghargaan kepada pengguna jalan raya berhemah dan kontinjen/daerah terbaik Op Selamat 8/2016 sempena Tahun Baharu Cina di pekarangan bangunan KL Sentral sebentar tadi.

Berita Harian X