X
Jumaat, 19 Februari 2016 | 4:07pm

Bantuan kepada peneroka ditentukan selepas moratorium berakhir

KUANTAN: Bantuan kepada peneroka yang terjejas pendapatan berikutan pelaksanaan moratorium perlombongan bauksit di Bukit Goh di sini akan ditentukan selepas moratorium berakhir April ini, kata Pengerusi FELDA, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

Katanya, FELDA perlu menunggu keputusan sama ada aktiviti perlombongan bauksit akan diteruskan dengan garis panduan baharu atau sebaliknya sebelum mempertimbangkan sebarang bantuan.

"Kalau tanya saya pasal perancangan sekarang untuk membantu peneroka (yang terbabit perlombongan bauksit dan terjejas pendapatan)... masih terlalu awal.

"Tidak tahu lagi sama ada perlombongan bauksit ini diteruskan ataupun tidak, selepas itu baru boleh kita tengok bahagian mana yang boleh tolong peneroka," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, semalam.

Sehubungan itu, beliau sekali meminta peneroka terbabit agar bersabar sementara kerajaan mengenal pasti garis panduan baharu yang efektif bagi aktiviti perlombongan bauksit.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Bertindak Bauksit Bukit Goh Datuk Dr Abdul Wahid Manap meminta kerajaan termasuk FELDA memberi perhatian terhadap permasalahan yang dihadapi peneroka terbabit.

Beliau berkata, ini kerana ada peneroka mengalami kerugian apabila terdapat pengusaha bauksit didakwa menjalankan kegiatan perlombongan secara haram selain mengorek bauksit di kawasan tidak dibenarkan termasuk tapak perumahan.

"Saya memang tidak nafi ketika peneroka menandatangani perjanjian dengan pengusaha bauksit mereka tidak berbincang terlebih dahulu dengan pengurusan FELDA untuk mengetahui isi kandungan perjanjian itu ... saya dapat tahu ada juga peneroka kena tipu," katanya.

Katanya, sebanyak 248 daripada 671 peneroka di Felda Bukit Goh terbabit dengan perlombongan itu yang membabitkan 33 pengusaha bauksit.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X