Sabtu, 20 Februari 2016 | 12:04am
COZMEI (dua dari kanan) memberikan taklimat sebelum memulakan latihan memanah di Ladang Alam Warisan, Seri Menanti, Negeri Sembilan. - Foto Iqmal Haqim Rosman
COZMEI mengajar cara penggunaan busur memanah. - Foto Iqmal Haqim Rosman
COZMEI menunjukkan cara penggunaan busur memanah. - Foto Iqmal Haqim Rosman
COZMEI kiri) dan Muhamad Akmal berkongsi ilmu memanah. - Foto Iqmal Haqim Rosman
COZMEI mengkaji kehebatan sukan itu daripada tamadun Islam Arab. - Foto Iqmal Haqim Rosman

Jaguh dunia kuasai teknik memanah Mamluk


KUALA LUMPUR: Di atas kuda yang berlari laju, melepaskan lima anak panah dan tepat mengenai sasaran dalam tempoh kurang enam saat.

Itulah kemahiran istimewa juara dunia memanah berkuda dari Romania, Mihai Cozmei, 47, yang mendakwa mengkaji kehebatan sukan itu daripada tamadun Islam Arab.

Paling mengujakan apabila beliau menunjukkan kemahirannya dalam teknik memanah pantas berkuda, kerana bukan saja kepantasan itu yang ditonjolkan tetapi juga ketepatan sasaran dan kehandalannya mengendalikan kuda meskipun yang baru dinaikinya.

Namun, dalam semua keistimewaan itu, apa yang lebih menjadi tarikan ialah minat Cozmei terhadap teknik panahan golongan Mamluk, iaitu satu masyarakat hamba abdi yang terkenal dengan kehebatan perang berkuda dan berjaya membina empayar Kesultanan Mamluk di Mesir pada tahun 1250 hingga 1517.

Masyarakat Mamluk terkenal kerana kejayaan mereka dalam Kempen Tentera Salahuddin Al - Ayyubi ketika Perang Salib dan kemenangan mereka melawan Mongol sekali gus menyekat pengembangannya di Asia Barat.

COZMEI membuat demonstrasi memanah sambil berkuda di Ladang Alam Warisan. - Foto Iqmal Haqim Rosman

COZMEI menunjukkan kaedah memanah cara Mamluk. - Foto Iqmal Haqim Rosman

Atas kehebatan teknik memanah Mamluk yang dikarang dalam kitab Memanah Saracen (Saracen Archery), ia menarik minat Cozmei untuk mengkaji dan sekali gus menguasainya terutama dalam pengkhususan panahan berkuda.

Kejayaan datang tidak mudah kerana Cozmei mula berjinak dengan sukan memanah pada usia 15 tahun dan mula berlatih secara formal pada usia 20 tahun di Hungary.

Dia kemudian membuka sekolah memanah di Hungary sebelum dijemput menyertai sekolah memanah Lajos Kassai.

Kepantasannya memanah ketika menunggang kuda yang sedang berlari laju tidak boleh dipertikaikan kerana dalam masa di bawah enam saat, beliau mampu melepaskan lima anak panah tepat ke sasaran.

Ia tentunya sesuatu yang sangat hebat kerana kebanyakan pemanah biasa hanya mampu memanah dengan kepantasan sekitar tiga saat bagi satu panahan dalam keadaan pegun dan pasti lebih sukar jika menggunakan kuda.

Ketika ditanya kenapa beliau memilih menggunakan teknik tentera Islam, Cozmei yang menganut Kristian Ortodok berkata, dalam kaedah itu, ia bukan sekadar mengajar memanah tetapi konsep ketuhanan yang menjadikannya lebih dekat dengan Tuhan.

COZMEI menunjukkan cara penggunaan busur. - Foto Iqmal Haqim Rosman

"Ya, saya bukan Islam, namun dalam konsep memanah cara Mamluk ia mendekatkan kita dengan Tuhan dan memahami bahawa setiap yang dipanah itu akan didorong oleh kuasa Tuhan, bukan disebabkan pemanah itu sendiri.

"Paling utama, teknik memanah Mamluk ini sudah terbukti hebat kerana banyak peperangan yang dimenangi tentera Islam dengan kemahiran ini," katanya.

Cozmei pernah memenangi kejuaraan memanah berkuda dunia pada tahun 2014 dan kini dibawa ke Malaysia dalam siri jelajah pemanah berkuda dunia ke beberapa negeri iaitu Kelantan, Johor, Selangor, Terengganu, Kedah dan Negeri Sembilan bermula 28 Januari hingga 29 Februari ini.

Ia sebagai mempromosi sukan memanah dan memanah berkuda yang juga sunnah Nabi.

Sebelum ini, lelaki berusia 47 tahun ini sudah beberapa kali datang ke Malaysia untuk berkongsi ilmunya terutama di Ladang Alam Warisan, Kuala Pilah yang menjadi lokasi utamanya berkampung selama ini.

"Memanah adalah cara hidup. Ia bukan sekadar panahan tetapi membentuk jati diri serta keperibadian seseorang. Ia melatih kesabaran dan pelbagai lagi ciri-ciri baik menjadi seorang yang berhemah.

COZMEI dengan gaya tersendiri ketika memanah. - Foto Iqmal Haqim Rosman

COZMEI (dua dari kanan) memberikan taklimat sebelum memulakan aktiviti memanah di Ladang Alam Warisan, Seri Menanti, Negeri Sembilan. Foto IQMAL HAQIM ROSMAN

"Amat mengujakan melihat perkembangan memanah ketika ini kerana semakin hari, semakin ramai orang menceburinya. Perkembangan di Malaysia juga sangat pantas. Namun, ia buat saya semakin risau kerana pada masa yang sama, saya perlu jaga peribadi supaya menjadi contoh baik kepada mereka semua," katanya.

Pertemuan dengan wartawan Berita Harian selama beberapa jam di Ladang Alam Warisan sudah cukup memberikan satu pengalaman menarik apabila Cozmei menunjukkan kemahirannya menggunakan teknik 'shower shooting' iaitu memanah pantas dengan tangan memegang semua anak panah secara serentak.

Pemilik Ladang Alam Warisan, Muhamad Akmal Mohamad Dahlan, yang membawa Cozmei berkata tujuan utama membawa Cozmei dalam siri jelajah Malaysia adalah untuk memperkenalkan teknik panahan Mamluk yang dikuasai olehnya.

"Kitab memanah cara Mamluk menceritakan teknik tentera berkuda Islam di tanah Arab. Menariknya, meskipun dia bukan beragama Islam, dia sangat menguasai teknik dalam kitab itu, malah dia mengkajinya secara terperinci.

"Konsep ketuhanan yang ada dalam kaedah memanah Mamluk sesuatu yang sangat menarik untuk dikongsi. Bagi saya tidak ada masalah ilmu itu kita belajar dengan Cozmei kerana ia juga adalah ilmu orang Islam.

"Saya sendiri selepas beberapa kali belajar dengan dia dan berjaya menguasai kaedah sebenar dan terbaik memanah dari atas kuda yang berlari laju," katanya.

Berita Harian X