Sabtu, 20 Februari 2016 | 1:01pm

RM1.5j bina semula SMA As-Siddiqiah yang terbakar

Sekurang-kurangnya RM1.5 juta diperlukan SMA As-Siddiqiah di Padang Kerasak. - Foto Amran Hamid

PADANG TERAP: Sekurang-kurangnya RM1.5 juta diperlukan Sekolah Menengah Agama (SMA) As-Siddiqiah di Padang Kerasak, dekat sini, yang terbakar minggu lalu, bagi pembinaan semula bangunan baharu termasuk asrama yang musnah dalam kejadian itu.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata bagi tujuan itu, pihaknya akan cuba mendapatkan peruntukkan daripada kerajaan Persekutuan.

Katanya, SMA As-Siddiqiah adalah Sekolah Agama Rakyat (SAR) yang terletak di bawah tanggungjawab kerajaan negeri melalui Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK).

"Melalui peruntukan itu nanti kita akan panggil JKR (Jabatan Kerja Raya) untuk membantu dari segi reka bentuk yang sesuai bagi sekolah ini.

"Saya juga akan menemui Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) dalam minggu ini bagi memohon peruntukkan terbabit," katanya pada sidang media selepas membuat lawatan ke SMA As-Siddiqiah, di sini pagi tadi.

Mahdzir sebagai sebagai Ahli Parlimen Padang Terap memberikan peruntukan RM100,000 kepada sekolah terbabit.

Malah sebelum ini, kerajaan negeri melalui Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah turut menghulurkan bantuan sebanyak RM100,000.

Dua blok asrama SMA As-Siddiqiah musnah dalam kebakaran pada kejadian kira-kira jam 5 petang, Ahad lalu, dengan kerugian dianggarkan melebihi RM1 juta.

Berita Harian X