Sabtu, 20 Februari 2016 | 11:58pm

Tiga prinsip tunjang kejayaan dalam politik - Najib

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak berucap pada Majlis Kesyukuran Penglibatan 40 Tahun Najib Razak Dalam Politik, malam ini. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau sentiasa berpegang kepada tiga prinsip utama dalam hidup yang menjadi tunjang kepada kejayaannya sepanjang 40 tahun pembabitan dalam politik.

Perdana Menteri berkata, tiga prinsip itu ialah memperbanyakkan kawan berbanding musuh, tidak menjatuhkan sesiapa dalam politik dan tidak pernah membeli undi dalam parti.

"Saya berjaya dalam politik kerana saya berpegang kepada prinsip, banyakkan kawan daripada musuh, dan dalam dewan inilah sebahagian daripada kawan-kawan yang setia dengan saya selama ini.

"Sebab itulah persahabatan kita kekal sampai hari ini, sahabat dan kesetiaan, kesetiaan inilah amat saya hargai," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Kesyukuran Penglibatan 40 Tahun Najib Razak Dalam Politik, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, malam ini.

Majlis itu dihadiri kira-kira 2,000 tetamu terdiri daripada kepemimpinan kerajaan, parti, veteran parti dan orang awam.

Terdahulu, Najib yang berbaju Melayu kuning keemasan dan berkain pelikat, hadir bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor bagi menyertai solat Maghrib berjemaah, bacaan Yasin dan tahlil bersama hadirin.

Najib berkata, beliau tidak pernah cuba menjatuhkan sesiapa dalam kerjaya politiknya apabila hanya bertanding dalam satu-satu jawatan apabila wujudnya kekosongan di peringkat nasional.

"Saya tidak pernah beli undi dalam parti. Pada pertandingan pada tahun 1993, ada orang tabur (duit), malam itu Allahyarham Tan Sri JJ (Jamaluddin Jarjis) kata ini sedang berlaku.

"Jawapan saya, Allahyarham Tun Razak membina parti UMNO, saya tidak akan jadi anak yang merosakkan parti, apa nak jadi, jadilah," katanya.

Sementara itu, katanya, beliau percaya tidak ada kerjaya yang boleh menandingi profesion sebagai ahli politik yang mampu mengubah masa depan agama, bangsa dan tanah air.

Katanya, walaupun ramai pihak yang mempersoalkan kemampuannya ketika mahu menceburi kerjaya itu kerana usianya yang muda, beliau meneruskan hasratnya bagi menggantikan bapanya kerana mahu berjuang dan menyumbang bakti kepada agama, bangsa dan negara.

Najib memulakan kerjayanya dalam bidang politik pada 21 Februari 1976 apabila memenangi kerusi Parlimen Pekan menggantikan bapanya, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein selepas ayahandanya itu meninggal dunia.

Berita Harian X