Ahad, 21 Februari 2016 | 12:15am
SONAONE akan terus mencuba nasib sebagai komposer dan bekerja keras menghasilkan karya terbaik. - Foto Amirudin Sahib
SONAONE akur tidak mempunyai vokal yang mantap seperti penyanyi lain. - Foto Amirudin Sahib

SonaOne rungkai kisah peribadi menerusi lagu

LEBIH selesa untuk tidak bercerita mengenai status dirinya secara terbuka, penyanyi SonaOne sebaliknya memberikan jawapan terhadap persoalan yang sering menjadi tanda tanya kepada peminatnya itu menerusi barisan lagu yang dimuatkan dalam album pertamanya.

SonaOne atau nama sebenarnya Mikael Lozach, 28, berkata, album pertamanya yang berjudul Growing up Sucks itu lebih bersifat peribadi kerana sebahagian besar lagu yang dimuatkan menceritakan kisah hidupnya sejak mula mencipta nama sebagai anak seni.

Jejaka berdarah campuran Melayu-Perancis itu berkata, dirinya lebih gembira jika namanya dikenali menerusi karya yang dihasilkan berbanding meraih populariti dengan kontroversi murahan yang sengaja dicipta. Baginya, karya yang diketengahkan akan menjadi lebih bermakna dan dihargai apabila diberi perhatian oleh peminat berbanding cerita peribadi yang bersifat sementara.

"Ketika ini, saya lebih selesa bercerita mengenai album sulung yang menjadi taruhan untuk memulakan langkah sebagai penyanyi solo. Bukan bermakna saya menolak atau berterusan mengunci mulut mengenai cerita peribadi, sebaliknya saya mempunyai cara tersendiri untuk meluahkannya.

SONAONE pada pelancaran albumnya, Growing up Sucks. - Foto Amirudin Sahib

"Mereka yang ingin mengenali saya dengan lebih dekat boleh mendengar album ini kerana ia adalah rangkuman perjalanan hidup saya. Segala pengalaman pahit manis dan dugaan yang pernah saya lalui, saya kongsikan menerusi barisan lagu yang dimuatkan.

"Saya pernah terpalit dengan kontroversi bersama kerabat dan pelbagai cerita sensasi lain sepanjang menceburkan diri dalam bidang nyanyian. Mungkin ia tidak pernah saya ceritakan secara terbuka, tetapi itu tidak bermakna saya seorang yang perahsia. Saya memilih untuk berkongsi mengenainya menerusi lagu.

"Hanya mereka yang mendengar album ini akan mendapat jawapan mengenai segala pengalaman yang pernah saya lalui," katanya kepada BH PLUS.

Tambah SonaOne, Growing Up Sucks menjadi medium terbaik untuk dirinya berkongsi getir perjalanan sepanjang enam tahun membina kerjaya seni. Pada masa sama, beliau turut menjelaskan status sebenar dirinya menerusi sebuah lagu yang enggan didedahkan judulnya.

GROWING up Sucks menjadi medium terbaik untuk dirinya berkongsi getir perjalanan sepanjang enam tahun membina kerjaya seni. - Foto Amirudin Sahib

Album sulung SonaOne memuatkan 12 lagu iaitu Sunrise, Growing Up Sucks, Firefly, Hakeleh, Get Like Me, Go Do That, Confirm Ah, Grown Up, No More, Cold, Mama's Boy dan I Don't Wanna Die Alone.

Tidak ralat dibayangi Joe Flizzow yang pernah berkolaborasi dengannya dalam lagu, Apa Khabar, SonaOne menyifatkan bekas anggota Too Phat itu sebagai mentornya dalam bidang nyanyian kerana pemilik Kartel Music itu juga bebas kontroversi dan jarang sekali bercerita perihal peribadi.

"Saya tidak kisah jika langkah sebagai penyanyi solo masih samar kerana sejak kecil, saya mengagumi Too Phat dan Joe. Apabila berpeluang bekerjasama dengannya, saya anggap ia sebagai penghargaan yang cukup bermakna dalam hidup," katanya.

Bercerita mengenai keterujaan menghasilkan buah tangan sulungnya, SonaOne menjelaskan album itu juga menjadi bukti kepada ibu bapanya yang dirinya serius bidang nyanyian dan enggan mensia-siakan kepercayaan yang diberikan mereka.

"Bukan mudah untuk ibu dan bapa memberikan kepercayaan serta kebenaran untuk saya menjadikan nyanyian sebagai kerjaya. Sama seperti kebanyakan ibu bapa lain, mereka juga mengharapkan saya memilih kerjaya profesional sebagai jaminan masa depan.

ALBUM Growing up Sucks bukti kepada ibu bapanya yang dirinya serius dalam bidang nyanyian. - Foto Amirudin Sahib

"Menghormati keizinan mereka, saya bertekad untuk menjauhkan diri daripada sebarang kontroversi negatif dan merencana perjalanan kerjaya seni sebaiknya. Saya tidak mahu menghampakan harapan besar mereka yang ingin melihat saya menggunakan peluang ini dengan baik," kata Sona.

Mengulas mengenai kredibilitinya untuk mencipta nama sendiri, SonaOne tidak melatah apabila ada pihak mempertikai kemampuan menyanyi dengan baik. Akur tidak mempunyai vokal yang mantap seperti penyanyi lain, SonaOne bagaimanapun melengkapi kekurangan itu menerusi penulisan lagu dan lirik.

"Saya mungkin tidak mempunyai vokal hebat tetapi saya diberikan bakat untuk menulis lagu. Saya akan terus mencuba nasib sebagai komposer dan bekerja keras menghasilkan karya terbaik, terutama untuk peminat hip hop di seluruh negara.

"Walaupun jarang muncul di kaca televisyen mahupun di corong radio, saya masih aktif di balik tabir. Pelbagai inisiatif diambil untuk memastikan karya saya diterima. Saya bekerja bukan hanya untuk mencari kepuasan diri, sebaliknya turut memenuhi cita rasa pendengar," kata SonaOne.

Berita Harian X